Titik berat keselamatan pengunjung ke Terengganu

Zuraida Md Noor
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dicadangkan menitikberatkan mengenai isu keselamatan para pengunjung ke Terengganu.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, Terengganu terkenal sebagai destinasi eksotik dengan panorama yang indah lagi memikat hati pengunjung.

Katanya, dengan keluasan pesisir air sepanjang 244 kilometer dan berlatar belakangkan gugusan kepulauan di Laut China Selatan, ia ibarat permata mewarnai landskap alam semulajadinya.

“Kelebihan ini telah berjaya menarik ramai pelancong baik pelancong asing mahupun domestik yang memilih pulau dan pantai di negeri ini sebagai lokasi utama pelancongan.

“Menurut statistik yang telah dikeluarkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), pada tahun 2022 berlaku peningkatan bilangan pelawat domestik ke Terengganu dengan kadar peningkatan sebanyak 175.2 peratus.

“Selain penekanan untuk memperkasakan produk pelancongan alam semula jadi, beberapa perkara perlu ditekankan terutamanya isu keselamatan para pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelas beliau, situasi kehilangan nyawa melibatkan kejadian lemas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengenal latar belakang individu.

Tambahnya, selain kesedaran individu, agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan lebih cakna berkenaan aspek-aspek keselamatan dalam setiap perancangan pembangunan di mana- mana sahaja lokasi.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah mewujudkan zon selamat yang dikhususkan untuk pengunjung mandi manda di kawasan rekreasi pantai Pulau Kekabu, Marang.

“Molek sekiranya zon selamat ini diperluas ke pantai-pantai kawasan panas atau hotspot yang selalu berlakunya kejadian lemas.

“Selain itu, agensi yang berkaitan perlu memperbanyak pemasangan papan tanda bahaya setiap 100 meter di kawasan tumpuan, pemasangan bendera merah di kawasan tumpuan terutamanya ketika laut bergelora serta melaksanakan langkah keselamatan yang tinggi apabila melibatkan aktiviti rekreasi di air,” katanya.

Selain itu, kata beliau, antara usaha lain yang boleh dilakukan adalah menubuhkan lebih ramai skuad pasukan penyelamat pantai di pantai yang berisiko.

“Skuad penyelamat pantai ini tidak terhad kepada Angkatan Pertahanan Awam (APMM) sahaja namun perlu terdiri daripada agensi penyelamat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -