Solidariti Palestin: Pemimpin Islam di Malaysia perlu bersatu

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam di Malaysia digesa duduk semeja dan berdiri sepentas bukan hanya memperkukuhkan solidariti membela saudara se-Islam di Palestin, yang mana Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 (PMX), Dato Seri Anwar Ibrahim turut bersuara lantang.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, bahkan bersama-sama menongkah cabaran getir yang bakal dihadapi oleh Malaysia disebabkan solidariti yang sudah tentu kesannya jauh berbeza berbanding kedudukan PMX sebelum ini hanya sebagai pemimpin sebuah organisasi sivil dan pemimpin sebuah parti politik.

- Advertisement -

“Saya sendiri tidak menyangka, Dato Seri Anwar Ibrahim berani keluar dari zon ‘playsafe’ setelah beliau melihat kekejaman terhadap rakyat Palestin semakin memuncak.

“Reaksi kuasa besar terhadap Malaysia kesan daripada suara lantang Dato Seri Anwar seperti boleh dijangka, bahkan sudahpun dirasai kini. Jangan jadikan cabaran getir itu sebagai ‘air keruh untuk ditangguk’, sebaliknya jadikan ia sebagai ‘kiambang untuk ditaut’.

“Sekiranya ketika zaman Perdana Menteri keempat dan Perdana Menteri keenam boleh berlaku, mengapa pada zaman Perdana Menteri kesepuluh tidak boleh?” soal Zuhdi menjentik fikiran pemimpin supaya berlakunya penyatuan ummah dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sekiranya simpulan-simpulan yang mengikat kebersamaan umat Islam di Malaysia telah terungkai satu persatu, yang masih tinggal hanya beberapa simpulan, salah satunya ialah kebersamaan kita dalam membela perjuangan saudara seIslam di Palestin.

Sesungguhnya pembelaan terhadap perjuangan saudara seIslam di Palestin ujarnya, bukan sahaja telah seringkali menumpulkan ketajaman pertembungan sesama umat Islam di Malaysia, malah pembelaan ini telah beberapa kali mempersatukan pemimpin-pemimpin politik umat Islam di atas pentas yang sama.

“Ketika pertembungan antara PAS dan Umno memuncak ekoran Peristiwa Kecurian Senjata Kumpulan Al-Ma’unah pada tahun 2000, ketajaman pertikaian lidah antara pemimpin PAS dan Umno berlarutan beberapa tahun kemudian.

“Bagaimanapun, pada 8 Mei 2002, dua pemimpin utama PAS dan Umno, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tun Dr Mahathir Mohamad, duduk sepentas memberikan syarahan perdana untuk bersama-sama menyokong perjuangan Palestin.

“Kebersamaan kedua-dua tokoh ini telah mengharmonikan hubungan antara PAS dan Umno, sekali gus merapatkan jurang antara penyokong kedua-dua parti yang mewakili umat Islam di Malaysia.

“Demikian juga pada akhir tahun 2017, ketika umat Islam di Malaysia bersolidariti menentang keras usaha negara Israel memindahkan ibu kota mereka ke Baitul Maqdis, dua tokoh utama PAS dan Umno masin-masing Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato Sri Najib Abdul Razak, mengorak langkah untuk duduk sepentas bersama menentang usaha Israel tersebut.

“Meskipun pada tarikh yang ditetapkan 22 Disember 2017, Tuan Guru Abdul Hadi tidak dapat hadir di saat akhir, himpunan solidariti umat Islam Malaysia menentang usaha Israel itu berlangsung dengan penuh bersemangat.

“Himpunan itu turut disertai oleh parti-parti lain selain daripada PAS dan Umno,” ulas beliau memetik sejarah yang berlaku.

Beliau menjelaskan laggi, pembelaan terhadap perjuangan saudara seIslam di Palestin menjadi simpulan yang kuat serta mengikat kebersamaan umat Islam di Malaysia.

“Setelah lebih setengah tahun kekejaman negara Israel terhadap rakyat Palestin dilakukan, umat Islam di Malaysia terus bersolidariti termasuklah antaranya meneruskan kempen boikot terhadap jenama-jenama barangan yang dikenalpasti terkait dengan Israel.

“Sama ada disedari atau tidak, dampak kempen boikot oleh umat Islam ini boleh mengundang reaksi balas kapitalis-kapitalis Barat yang kebanyakannya pro Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -