Kelantan beri kerjasama program Aidilfitri Madani

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Pusat bagi menjayakan Sambutan Aidilfitri Madani di negeri itu pada 2 Mei ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama akan diberi dari semua sudut bagi memastikan majlis berkenaan berjalan lancar.

“Kita beri kerjasama sepenuhnya dari sudut yang diperlukan oleh Kerajaan Pusat. Semoga majlis itu berjaya dan dihadiri rakyat,” katanya pada sidang media sempena majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dan pimpinan PAS negeri.

Hadir sama wakil Gerakan, ulama pondok, sami Buddha, Dewan Himpunan Pendukung PAS dan ribuan rakyat Kelantan. (Foto atas)

Terdahulu media melaporkan penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri bermula 18 April ini.

Program itu di Kelantan dijangka diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar di Tunjong. Program serupa juga akan diadakan di Johor, Sabah, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Rumah Terbuka PAS Kelantan hari ini dimulakan dengan persembahan dikir barat oleh Dakwah Halaqat dan pertandingan aksi membuat teh tarik mewakili setiap kawasan parlimen. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -