PN tunggu dan lihat peruntukan MP pembangkang

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) berharap ada berita gembira berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen (MP) pembangkang yang tidak selesai sehingga sekarang.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga sekarang pihaknya tidak dimaklumkan sebarang perkembangan berhubung perkara itu selepas mesyuarat peringkat kerajaan Madani diadakan semalam.

“Mengenai perkembangan itu, kita akan tunggu dan lihat dan harap ada keputusan gembira pada mesyuarat semalam.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji di Parlimen mengenai rundingan peruntukan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PAS Kelantan, di sini, hari ini.

Media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan petang semalam secara dasar bersetuju mempertimbang peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun menurutnya satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjang kepada pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat peruntukan yang dijanjikan. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -