Kereta api laju Jepun lewat angkara ular

Keretapi laju Shinkansen. (FOTO: NDTV)
- Advertisement -

TOKYO: Perkhidmatan kereta api laju di Jepun yang terkenal dengan ketepatan masanya, terpaksa ditunda selama 17 minit gara-gara terdapat seekor ular di dalam salah satu gerabaknya.

Kejadian berlaku ketika kereta api laju itu baru sahaja tiba di stesen Tokyo dari Nagoya, dan dijadualkan berlepas ke Osaka.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, seorang penumpang memaklumkan kepada pekerja di stesen tersebut bahawa terdapat seekor ular sepanjang 40 sentimeter di dalam gerabak.

Kereta api laju yang dikenali sebagai ‘Shinkansen’ itu kemudiannya dihentikan penggunaannya, dan menyebabkan sekitar 600 penumpang terkandas di stesen berkenaan, sebelum kesemua mereka dibawa menaiki kereta api yang lain.

Ular itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh pekerja di stesen berkenaan, namun spesiesnya tidak dapat disahkan. Siasatan terhadap bagaimana haiwan itu boleh memasuki gerabak kereta api itu juga giat dilakukan oleh pihak keselamatan.

“Sukar untuk dibayangkan bagaimana haiwan berkenaan boleh memasuki keretapi di stesen ini kerana kami ada undang-undang yang tidak membenarkan penumpang membawa masuk ular”,

“Bagaimanapun, kami tidak memeriksa beg-beg penumpang yang menggunakan perkhidmatan keretapi ini”, ujar jurucakap syarikat keretapi berkenaan, lapor NDTV.

Tambahnya, para penumpang Shinkansen boleh membawa haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan haiwan-haiwan lain seperti burung ke dalam keretapi, tetapi tidak bagi ular.

Insiden ini bukanlah kali pertama berlaku kerana pada 2016, berlaku insiden seekor ular sawa yang berlingkar tempat letak tangan di kerusi seorang penumpang, menyebabkan perjalanannya terpaksa dihentikan.

Kejadian itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada penumpang.

Kereta api laju ‘Shinkansen’ boleh bergerak dengan kelajuan 285 km sejam dengan purata kelewatan sebanyak 0.2 minit dan sejak dilancarkan pada 1964, ia tidak pernah mengalami kemalangan yang mengakibatkan kematian mahupun kecederaan kepada penumpang. -Agensi-HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -