Pemotongan subsidi bahan api: Beban rakyat bertambah

Ahmad Yazid Othman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jangan terkejut apabila banyak pihak terutama rakyat yang sedia terbeban, akan memberikan maklum balas yang tidak baik terhadap langkah kerajaan Madani yang kekal dengan pendirian untuk melakukan pemotongan subsidi bahan api.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu menyediakan penerangan secara terperinci kepada rakyat mengenai kaedah-kaedah yang digunakan bagi menghadapi impak pemotongan subsidi bahan api itu sendiri.

- Advertisement -

“Kita harus ingat bahawa apa jua langkah yang dilakukan oleh pihak kerajaan pasti akan mempunyai kesan sampingan, tetapi masalahnya ialah ramai rakyat masih belum nampak bagaimana kerajaan nak kurangkan impak daripada langkah tersebut,” katanya.

Menurut beliau, antara impak buruk yang berlaku dalam pemotongan subsidi bahan api ialah kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang sedia ada.

Tambahnya, ramai rakyat pada hari ini sedang bergelut dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang mana kerajaan seharusnya perlu mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

“Apabila kita cakap mengenai isu pemotongan subsidi bahan api maka sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak boleh lari daripada isu sebegini.

“Ini kerana PADU akan digunakan untuk menyalurkan lagi bantuan wang tunai kepada sesiapa yang layak selain daripada mereka yang layak menerima Bantuan Tunai Rakyat yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),

“Saya ambil maklum kerajaan nak beri bantuan tunai hasil daripada penjimatan subsidi tapi saya tak tahu formula yang dipakai menggunakan PADU bagi memastikan jumlah dan kekerapan bantuan tunai ini diberi dan siapa yang dikira layak,” ujarnya.

Beliau menyatakan kerajaan perlu menyediakan perancangan yang lebih terperinci dalam isu sebegini kerana berpotensi menimbulkan pelbagai masalah sekiranya tidak berjaga-jaga.

“Sepertimana saya katakan tadi bahawa pemotongan subsidi minyak mempunyai kebaikan tersendiri, tetapi ia tidak bermakna impaknya tiada kesan sampingan yang akan berlaku memandangkan ia berpotensi menaikkan lagi harga barangan dan perkhidmatan yang sedia ada.

“Jadi, kerajaan perlu bukan sahaja mengambil maklum mengenai perkara ini tetapi juga menunjukkan perancangan yang rapi dalam menghadapi masalah tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -