Khidmat Malaysia aktifkan Bilik Gerakan Info Bencana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia telah mengaktifkan Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) bagi memantau perjalanan bilik operasi dan bilik gerakan negeri yang terbabit bencana, untuk memastikan proses penyelarasan bantuan bencana dapat dijalankan dengan baik.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, petugas terutamanya di Selangor selain Negeri Sembilan dan Melaka setakat ini, telah bertungkus lumus memastikan khidmat dan bantuan terbaik diberikan kepada mereka yang terjejas. 

- Advertisement -

“Khidmat Malaysia di setiap peringkat telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sepanjang tempoh musim peralihan monsun ini, bagi memastikan sebarang bentuk bencana yang melanda di kawasan masing-masing dapat diuruskan sebaiknya.

“Ia terutamanya  dari segi aspek bantuan pasca bencana termasuk proses mencuci premis terjejas dan juga bantuan segera seperti makanan siap untuk dimakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kejadian bencana banjir yang berlaku pada hari Ahad  lalu di beberapa tempat dalam negeri Melaka dan terkini, semalam di Sungai Buloh dan Rembau telah menyebabkan kenaikan air di kediaman dan menyebabkan kerosakan kepada harta benda penduduk terjejas.

“Justeru, Khidmat Malaysia di negeri terbabit telah mengaktifkan Bilik Operasi di kawasan terjejas dan telah mengatur bantuan makanan yanv siap dimasak dan juga bantuan mencuci rumah dalam kalangan petugas Jabatan Amal Malaysia dan Briged Muslimat Malaysia serta para sukarelawan Khidmat malaysia yang terjejas akibat banjir,” tambah Khairul Faizi.

Beliau dalam pada itu memetik kenyataan rasmi di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), yang  telah mengeluarkan peringatan berkenaan permulaan musim peralihan monsun daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya pada bulan April 2024 dan akan berakhir pada awal Mei. 

Kenyataan MET Malaysia juga berkata, sepanjang musim peralihan monsun ini, seluruh negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan keadaan ini kondusif mencetuskan kejadian ribut petir yang membawa kepada banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Khidmat Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dengan perkembangan cuaca yang terkini, serta mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya kediaman kita diuji dengan bencana banjir atau ribut dalam musim peralihan monsun ini. 

“Sebarang maklumat berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 010-5449866. Sebarang sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana banjir yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -