Halang pertandingan pakaian beragam janda-janda daerah

Halimah (depan, tengah) ketika hadir mengadakan pertemuan dengan pihak Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh, Pahang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang digesa untuk menghalang acara maksiat sepertimana acara yang dinamakan ‘Pertandingan Pakaian Beragam Janda-janda Daerah Temerloh’ supaya tidak pernah ada di bumi Temerloh.

Ahli Parlimen Temerloh, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, beliau telah menerima dan meneliti semua laporan yang telah sampai ke pejabatnya berkenaan dengan penularan acara tersebut.

- Advertisement -

“Bertindak atas laporan tersebut, saya telah mengarahkan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh untuk terus menghubungi wakil penganjur berdasarkan nombor yang tertera di poster yang ditularkan.

“Saya telah menerima maklum balas daripada pihak penganjur yang memberikan komitmen untuk membatalkan acara ini dan hanya menjalankan acara rumah terbuka Aidilfitri sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiah Kasdan telah membuat laporan polis dan pertemuan dengan pihak Pejabat Agama Islam Daerah bagi memastikan acara sebegini tidak akan pernah ada tempat untuk dianjurkan di bumi Temerloh yang sejahtera ini. 

“Saya telah menghantar memo bantahan kepada Al-Fadhil Qadhi Abdul Aziz Abd Karim di Pejabat Agama Islam Daerah. 

“Suka saya mengingatkan bahawa kita semua baru sahaja melepasi bulan Ramadan yang mulia dengan mensucikan diri daripada dosa noda dan kembali kepada fitrah dengan merayakannya di bulan Syawal yang penuh mulia ini. 

“Maka, jangan sesekali pernah ada dalam kalangan kita yang membuka pintu menuju ke arah dosa dan kemungkaran kepada Allah SWT.

“Pesanan saya kepada semua rakyat Temerloh agar perkara ini menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -