Umno wajar desak Speaker isytihar 6 kerusi kosong

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: Peluang untuk Umno bangkit semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam parlimen diwakili BERSATU terbuka luas sekiranya PRK tersebut diadakan.

- Advertisement -

Oleh itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu wajar mendesak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul supaya mengisytiharkan enam kerusi terbabit kosong.

“Desak dan tekan bersungguh-sungguh. Memandangkan enam kerusi parlimen itu Umno berada di kedudukan tempat kedua.

“Jadi parti itulah paling layak meletakkan calon. Semoga pandangan ini diambil kira,” katanya pada hantaran di laman sosialnya.

Sebelum ini enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytihar sokongan kepada perdana menteri iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Selain itu Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Turut mengikut jejak sama ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Berikutan itu pada 2 Mac lepas Perhimpunan Agung Khas BERSATU meluluskan pindaan perlembagaan parti bagi melucut keahlian parti Ahli Parlimen dan Adun yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Usul pindaan perlembagaan BERSATU kemudian mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sekarang masa yang sesuai bagi Umno mendesak Speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi terbabit.

Bagaimanapun bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membayangkan sekiranya berlaku PRK di tujuh kerusi terbabit Bersatu boleh menang semuanya jika diadakan tahun ini.

“Saya sedikit berbeza pandangan, saya berpendapat Umno berpeluang menang terutama di kerusi-kerusi Parlimen yang kalah tipis.

“Kali ini jika berlaku PRK, mereka akan dapat bantuan undi penyokong PH. Ini masanya untuk mereka bangkit semula,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -