UAE dibadai ribut: Banjir besar landa Dubai

- Advertisement -

DUBAI: Ribut yang disertai hujan lebat melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa menyebabkan banjir besar membanjiri rangkaian lebuh raya di ibu kota Dubai, menyaksikan puluhan kenderaan tersadai di bahu jalan.

Banjir tersebut turut menjejaskan operasi penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang merupakan lapangan terbang tersibuk di dunia bagi laluan antarabangsa.

- Advertisement -

Jumlah hujan dengan kadar 120 milimeter itu telah membasahi bandar Dubai; yang merupakan kadar purata bagi UAE.

“Disebabkan keadaan cuaca luar biasa yang melanda negara, lapangan terbang Dubai terpaksa melencongkan penerbangan-penerbangan yang dijadualkan tiba di sini sehingga keadaan cuaca bertambah baik,” kata jurucakap lapangan terbang berkenaan, lapor Global News.

Tambahnya, penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Dubai akan tetap diteruskan seperti dirancang, walaupun keadaan jalan raya di sekitar lapangan terbang telah dilanda banjir.

Keadaan di dalam Mall of The Emirates yang dilimpahi air banjir pada 16 April 2024. (FOTO: Tiktok/X)

Sehubungan itu, beliau menggesa agar penumpang yang ingin ke lapangan terbang menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan urusan.

Terdahulu, operasi di lapangan terbang berkenaan telah dihentikan selama 25 minit sebelum disambung semula. Imej yang tular di media sosial turut menunjukkan beberapa buah kapal terbang melalui landasan yang ditenggelami air banjir.

Insiden banjir itu juga mengakibatkan pusat beli belah terkemuka di UAE termasuk Dubai Mall dan Mall of The Emirates, dengan paras air setinggi buku lali pula melanda stesen metro Dubai.

Operasi sekolah turut terpaksa dihentikan dan dijangka berterusan akibat cuaca hujan yang masih belum berhenti. Kerajaan Dubai dalam pada itu, menggalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah bermula pada hari ini, Rabu.

Hujan lebat bukan sahaja di UAE, tetapi turut melanda negara jirannya seperti Qatar, Bahrain dan Oman yang mengakibatkan banjir melanda di ketiga-tiga negara berkenaan. – Agensi – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -