‘Ba.. itu apa? Batu, bawang, bakar darah?…’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Ustaz Shahrir Asraf Azmi mengakui lagu raya yang paling tular pada masa kini ialah Alamak Raya Lagi oleh kumpulan De Fam.

“Lagu ini memang ceria dan sedap didengar,” katanya menerusi video berdurasi 3 minit 31 saat di platform TikTok milik akaunnya @shahrirasraf_ pada Selasa, yang kini meraih 222,100 tontonan (views) dan 5,038 tanda suka (likes) serta 1,290 perkongsian.

- Advertisement -

Namun begitu beliau berkata, persoalan timbul mengenai mengenai bait lirik ‘tapi wifi macam ba.. bila tiba hari raya’ pada minit yang ke 2.17 hingga 2.18 terdengar perkataan yang kurang enak, kurang elok dan mengelirukan pendengar.

“Tuan-tuan, cuba dengar balik lagu ini. Saya nak tekankan lirik ‘tapi wifi macam ba..’. Ketika ditanya pihak media sebelum ini, De Fam telah menjelaskan, isu itu bergantung kepada pemahaman pendengar sama ada ingin mengambil perkara itu secara positif atau negatif. Tuan-tuan..sesuai ke (De Fam) jawab macam tu?

“Kalau ikut pada lirik tersebut, penggunaan ‘ba..’ itu sesuai difahami dengan perkataan apa? Batu, tak sesuai, bawang, baharung, bakar darah, Barcelona, basikal.. memang tak sesuai. Apatah lagi kalau kita ambil daripada ayat sebelumnya.

“Jadi tuan-tuan, lagu yang buat ramai orang berjoget ni, telah mempromosikan bahasa yang tidak sesuai dan tidak molek yang telah menjadi ikutan ramai tular dalam kita tidak sedari,” ujarnya.

Ustaz Shahrir Asraf Azmi

Shahrir berkata, terdapat dalil bahawa orang Islam wajib menahan diri dari perkataan kotor dan keji sebagaimana disebut oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari berkenaan maksud Al-Laqhwu, ialah ‘perkataan yang tidak ada manfaat daripada perkara-perkara yang batil dan seumpamanya’.

“Bahkan dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”

“Justeru, saya nak nasihati diri saya dan kita semua terutama kepada artis-artis yang ingin membuat lagu, maka pilihlah dan buatlah lagu yang memberi manfaat dan berhati-hati dalam penggunaan lirik supaya tidak berunsur perkara yang kotor, keji dan maksiat,” katanya.

Tambah beliau, Allah SWT telah berfirman maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah Allah SWT serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.

“Mudah-mudahan, apa yang saya kongsikan ini memberi manfaat kepada (semua) sehingga bertemu lagi dalam rakaman video TikTok yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -