Wartawan Colombia siasat kes rasuah mati dibunuh

Jaime Vasquez. (FOTO: Voice of America)
- Advertisement -

BOGOTA: Seorang wartawan, pemimpin sosial dan pemerhati warganegara yang melakukan siasatan mengenai kes rasuah telah dibunuh pada Ahad lalu di bandar Cucuta, ibu negeri wilayah Norte de Santander yang bersempadanan dengan negara Venezuela.

Jaime Vasquez, 64, dikenali sebagai seorang yang tegas dalam melakukan siasatan terhadap kes-kes rasuah di kawasan berkenaan, telah ditembak mati di hadapan kira-kira puluhan saksi yang berada di tempat kejadian.  

- Advertisement -

Menurut Institut Pembangunan dan Kajian Keamanan (Indepaz), Vasquez melakukan siasatan terhadap isu rasuah di dalam entiti awam di negara berkenaan, dan secara konsisten telah mengkritik pemerintahan kerajaan di wilayah Norte de Santander. 

Sementara itu, Yayasan bagi Kebebasan Akhbar (FLIP) negara berkenaan menerusi akaun X memaklumkan, kecaman yang dilakukan Vasquez mengenai penyelewengan dalam pemerolehan awam dan aktiviti rasuah yang berlaku membuatkan rakyat di kawasan berkenaan sedar akan kegiatan tersebut.

Beliau juga turut melakukan siasatan terhadap gabenor Norte de Santander, William Villamizar Laguado yang didakwa melakukan rasuah antara lainnya di dalam isu kesihatan, Program Makan Sekolah (PAE) dan laluan pejalan kaki.  

“Mereka yang mempunyai kemampuan untuk mengecam beberapa kartel yang wujud pada hari ini, akan melihat insiden tersebut sebagai pengakhiran hidup mereka,” tegas Marin Rojas, seorang penyelia kesihatan dan rakan Vasquez, lapor Voice of America. 

“Kesakitan saya adalah kekal dan ketakutan saya adalah tidak terhingga. Tetapi saya akan terus mengecam mereka,” tambahnya. 

Pihak berkuasa Cucuta dalam pada itu, menyediakan ganjaran sebanyak AS$18,000 (RM86,301) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai individu yang bertanggungjawab membunuh Vasquez. 

Presiden Colombia, Gustavo Petro menerusi akaun X beliau mengarahkan Pendakwa Raya agar melakukan siasatan secara menyeluruh merangkumi pemeriksaan forensik terhadap telefon bimbit Vasquez yang didakwa telah dimanipulasi oleh pegawai selepas kematiannya. – Agensi – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -