OKU bingung gagal dapat bantuan kaki palsu

Bakri ketika hadir melawat rumah Norhamimi di Taman Krubong Jaya, Melaka pada hari ini.
- Advertisement -

MELAKA: Usaha memohon bantuan daripada beberapa agensi dan jabatan kerajaan untuk membeli kaki palsu yang sering menemui kegagalan, menyebabkan tekanan perasaan kepada seorang ibu tunggal orang kelainan upaya (OKU).

Norhamimi Hamim, 53, yang mengusahakan gerai menjual kuih bersama adik dan anaknya sangat memerlukan kaki palsu untuk memudahkannya mencari rezeki, setelah kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis tiga tahun lepas.

- Advertisement -

“Saya perlukan sangat kaki palsu itu. Saya dah pergi ke jabatan sana, jabatan sini, minta bantuan, tapi tak dapat. Mereka kata tak ada peruntukan bantuan untuk kaki palsu.

“Saya pun tak tahu nak minta pada siapa lagi. Saya dah buntu dan tertekan,” ujarnya yang juga kehilangan suami yang meninggal dunia akibat penyakit leukimia beberapa tahun sebelum kakinya dipotong.

Menurut Norhamimi, akibat tertekan beliau pernah mengalami minor strok sebanyak dua kali semenjak kakinya dipotong.

“Doktor tanya kenapa sampai boleh strok? Saya cakap saya tertekan, saya sedih, kenapa susah sangat saya nak dapat bantuan kaki palsu. Saya nak cari rezeki, nak berniaga susah,” tegasnya kepada HarakahDaily

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin ke rumahnya di Taman Krubong Jaya, di sini, hari ini.

Sementara itu tambah Bakri, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak antaranya ialah daripada badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia (MCM) dan beberapa agensi kerajaan lagi.

“Kami di Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu tidak menerima apa-apa peruntukan daripada kerajaan Persekutuan seperti Ahli Parlimen Kerajaan.  Jadi, kami tak dapat nak beri terus bantuan kewangan kerana jumlahnya besar.

“Maka, kami akan salurkan pada NGO Muslim Care Malaysia untuk mendapat bantuan daripada mereka. NGO ini pun mereka mendapat sumbangan daripada orang ramai dan penderma,” ujarnya.

Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka hadir ke rumah Norhamimi bagi menyerahkan borang permohonan untuk diisi pihaknya bagi dipanjangkan kepada pihak-pihak terbabit.

Tambahnya, keadaan Norhamimi yang sangat daif sangat meruntun hatinya sebagai wakil rakyat kawasan itu dan berharap agar usahanya untuk mendapatkan bantuan bagi ibu tunggal tersebut akan berhasil.

“Saya terharu kerana dalam keadaan beliau yang hilang sebelah kaki dan seorang OKU namun beliau masih berusaha mencari rezeki dengan menjual kueh.

“Beliau bukan yang jenis duduk sahaja sekadar mengharapkan bantuan, tetapi beliau keluar berniaga dalam serba kekurangan. Kaki palsu yang beliau mohon itu pun untuk memudahkan beliau mencari rezeki,” katanya.

Tambahnya, beliau akan segera menghantar permohonan tersebut kepada NGO dan jabatan terlibat dan berharap agar penantian ibu tunggal itu untuk menggunakan kaki palsu berakhir dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -