Kita buat baik, orang doakan kebaikan kita 

- Advertisement -

SETIU: Tular di platform TikTok apabila pemilik sebuah rumah di Kampung Saujana bermurah hati menawarkan kemudahan tandas percuma kepada pengguna jalan raya yang tersangkut dalam kesesakan pada hari raya kali ini.

Video berdurasi 32 saat itu dikongsikan seorang pengguna TikTok, @r.nissss pada Ahad lalu, kini meraih 2.4 juta tontonan (views) dan 174,000 tanda suka (likes) serta 4,798 perkongsian.

- Advertisement -

Sementara itu, tinjauan ke ruangan komen mendapati kebanyakan netizen memuji tindakan keluarga berkenaan. 

“Dalam tak sedar, tuan rumah tarik rezeki kerana pertama, guna tandas percuma. Kedua, bila tetamu itu keluar dari rumah (tuan rumah), ia tinggalkan barakah. Alhamdulillah,” kata @anwar_zainudin.

“Usaha yang nampak kecil tapi besar manfaat pada yang sudah berada di ‘hujung-hujung’,” komen @pena_grata_177.

Selain itu, perkongsian yang tular ini turut mendapat perhatian bagi penumpang yang telah menggunakan tandas percuma di rumah tersebut walaupun pada raya yang lalu, malah sentiasa mengucapkan  terima kasih kepada tuan rumah kerana perkara kebaikan sebegini amat jarang berlaku.

“Terima kasih. Tahun lepas Raya Haji saya tersangkut di Setiu lima jam. Lalu depan rumah cik juga. Kebetulan lalu sini tumpang tandas, dengan lampin anak penuh, dengan mengandungnya lagi masa itu (tidak) tahan nak pergi tandas.

“Semoga mewah rezeki cik sekeluarga. Memang bersyukur sangat masa tu lalu situ sebab dahsyat sangat (kesesakan jalan raya) rasa masa tu,” kata @byneayarn. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -