‘Walaun’ ini dibenci pun tetap buat baik

- Advertisement -

SETIU: Tular satu video di laman sosial TikTok baru-baru ini, mengenai pemberian tembikai percuma di tepi Jalan Pantai Kampung Beris Tokku kepada perantau yang menghadapi kesesakan lalu lintas yang kembali ke ibu kota Kuala Lumpur selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing di pantai timur.

Video tersebut telah dimuatnaik oleh seorang pengguna TikTok @aiman92 pada hari Ahad yang telah meraih lebih 430,000 tontonan (views) dan dikongsikan sebanyak 5,201 kali melalui platform berkenaan.

- Advertisement -

Video tersebut memaparkan, mereka berkongsi rezeki dengan meletakkan potongan tembikai dalam pinggan plastik untuk diberikan secara percuma kepada mana-mana pengguna jalan raya tersebut.

“Kongsi rezeki ketika jalan tengah jem, hati-hati memandu semua dan semoga selamat sampai di destinasi, amin,” kata pemilik akaun berkenaan.

Majoriti netizen telah memberikan reaksi yang positif mengenai perkara tersebut kerana melakukan sedekah amal jariah walaupun dalam keadaan cuaca musim panas pada ketika itu.

“Alhamdullillah.. kami seorang daripada penerima buah tembikai masa jem dan semoga murah rezeki selalu,” kata seorang daripada pengguna TikTok, @FatinFatihah.

Manakala seorang lagi pengguna TikTok @Ainie Kamil memuji orang-orang Terengganu kerana bersifat pemurah dalam berkongsi rezeki tersebut dengan para pengguna jalan raya tersebut.

“Baik-baik orang Terengganu… tadi saya nampak video ada beri guna tandas percuma sekarang bagi buah tembikai pula,” ujarnya.

Malah seorang lagi pengguna akaun TikTok @Anip juga tidak terkecuali memberikan komen yang positif mengenai perkara tersebut.

Dia menyatakan bahawa orang-orang Terengganu tetap berbuat baik walaupun dibenci dan diberikan gelaran ‘walaun’. yang mana perkara tersebut mendapat reaksi yang baik daripada pengguna TikTok @aiman92.

“Bezakan antara walaun dengan walanon.. walaun ini dibenci pun tetap buat baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -