MCCBCHST tidak hormati polisi kontrak sosial

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBHST) mengenai Akta Mahkamah Syariah dianggap menyentuh sensitiviti 3R (raja, agama, kaum).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, MCCBCHST tidak menghormati keharmonian masyarakat majmuk dan polisi kontrak sosial di negara ini.

Katanya, isu 3R melibatkan keharmonian masyarakat berbilang agama di Malaysia adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Tiada mana-mana pihak yang diberikan imuniti untuk menyentuh dan mempertikai soal anutan agama masing-masing.

“Islam pula adalah agama yang terkandung di dalamnya hukum-hakam termasuk hukuman jenayah syariah yang menjadi kewajipan umat Islam untuk mematuhinya,” katanya pada kenyataan di sini.

MCCBCHST pada kenyataan baru-baru ini dilapor beranggapan cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan atas alasan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada sebagaimana yang disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, kata Mohd Asri kenyataan itu perlu disiasat sewajarnya dan ia perlu dihentikan bagi mengelak polemik yang lebih teruk dan terbuka.

“Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam di negeri mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan negeri itu.

“Manakala fasal (3) pula menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi wilayah-wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya pada kenyataan di sini.

Mohd Asri yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, kenyataan badan agama terbabit tersasar dan bermasalah dalam banyak aspek.

Menurutnya, sebagai pemerintah menjadi kewajipan kerajaan untuk memartabatkan hukuman Jenayah Syariah di Malaysia melibatkan umat Islam.

“Tidak timbul soal ‘tidak berperlembagaan’ kerana ia dibuat di bawah bidang kuasa negeri dan bukan Islam tidak perlu bimbang kerana ia adalah hukuman yang mendidik umat Islam.

“Hakikat dalam Islam, tanggungjawab melaksanakan syariah secara menyeluruh adalah tanggungjawab semua umat Islam yang berkuasa sama ada di negeri atau Persekutuan,” ujarnya.

Malahan tiada halangan untuk Persekutuan melaksanakan syariah sebagaimana kewujudan akta-akta berkaitan muamalat. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -