Rakyat terkesan kerana tangguh bayaran royalti

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menangguh bayaran royalti petroleum kepada Terengganu ibarat melakukan penganiayaan kepada rakyat negeri ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid berkata, rakyat negeri ini terkesan kerana sekatan bayaran royalti yang sepatutnya diperolehi oleh kerajaan negeri tetapi tidak diberikan.

“Jadi dia (Perdana Menteri) buat alasan yang dibuat-buat untuk menafikan hak rakyat Terengganu. Terbaru kita dengar bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan telah belanja lebih untuk Terengganu.

“Siapa tahu apa maksud belanja lebih tu, sedangkan yang kita dapat tahu bahawa untuk tahun 2023 Terengganu dapat kurang daripada RM1 bilion, RM500 juta sahaja.

“Tapi kenyataan daripada dia, dia maklum kepada kita bahawa sejak bulan Disember baru ni RM580 juta yang saya faham. Jadi penganiayaan ini tidak sewajarnya berlaku kerana kita ada federalisme, perjanjian antara negeri dan pusat,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, berdasarkan rekod, jumlah royalti petroleum kepada negeri pada tahun 2018 adalah RM1.7 bilion, 2019 (RM1.49 bilion), 2020 (RM1.48 bilion), 2021 (RM1.28 bilion), 2022 (RM1.39 bilion) dan 2023 sebanyak RM0.78 bilion tetapi RM540 juta sahaja yang diperolehi.

“Jadi kalau dia kata lebih pada biasa kita tidak tahu lah dia kira matematik macam mana, dia congak, atau pakai formula saya tidak tahu. Tapi faktanya dia menafikan hak,” katanya.

Kata beliau, lebih malang lagi baru-baru ini PM mengatakan sebahagiannya telah diserahkan kepada Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sebanyak RM5 juta lebih.

“Kita tidak tahu itu duit royalti ataupun daripada Kementerian Pembangunan Desa dan Luar Bandar masa Dato’ Seri Zahid datang (ke Terengganu).

“Jadi ini benda-benda yang mungkin nak pastikan bahawa dia selesa dia akan menang, dia gunakan senjata ini untuk pastikan pilihan raya akan datang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin rakyat akan menyokong balik Umno. Tapi dengan apa yang berlaku saya yakin bahawa rakyat kita (bijak),” ujarnya.

Mengulas berhubung kerajaan Pusat mengambil pendekatan menyalurkan terus peruntukan kepada rakyat negeri ini yang memerlukan tanpa melalui mana-mana Ahli Parlimen, katanya itu hanya permainan politik.

“Ini semua politik, rekod Terengganu saya difahamkan dapat anugerah audit bersih dua tahun berturut-turut.

“Ini yang ditekankan kepada Dr Sam (Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri), bila kerajaan Terengganu minta tambahan royalti, dihantar penyiasat siasat sebab ada mengatakan bahawa duit royalti ini digunakan untuk kuatkan parti, bila disiasat tidak ada pun, kemudian pusingan ketiga siasat lagi.

“Saya bertanding dengan Umno, pernah bertanding atas tiket PAS. Tiket Umno duit yang digunakan untuk pilihan raya terlalu banyak, dan PAS ini sumbangan daripada orang kampung terlalu banyak, jadi berbeza.

“Jadi nak kata PAS ini guna duit kerajaan untuk parti setakat ini tidak berlaku, sebab pengalaman saya sendiri masa bertanding lima penggal, satu penggal dengan bendera PAS, duit yang kita belanja untuk pilihan raya tidak banyak.

“Banyak sumbangan dari orang kampung, markas, dan sebagainya. Jadi kalau kata kita ini korup, itu satu tidak ada asas,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Badan Bersatu negeri. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -