Ubi kayu juadah raya?

- Advertisement -

“BOLEH tegur, tapi jangan maki hamun.” Eh!, kenyataan siapa pula itu dan apakah isunya?

Ooo… Itu kenyataan media semalam daripada Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

- Advertisement -

Murni sungguh teguran beliau, agar blok pembangkang berhati-hati dalam memberi kritikan atau teguran berhubung isu beras di negara ini.

“Tidak salah memberi teguran, tetapi sebaiknya dilakukan dalam cara lebih sesuai.

“Pembangkang itu hak mereka untuk terus kritik. Saya pun biasa jadi pembangkang, bagi saya mengkritik, teguran, bangkangan itu perkara biasa.

“Cuma kita tidak setuju maki hamun. Mengkritik itu adalah perkara yang kita boleh terima, bahkan pandangan pun kita boleh terima,” kata Mohamad Sabu kepada pihak media dalam majlis pelancaran Semarak Syawal Agro Madani di Pasar Tani, Taman Sri Andalas, di Klang, Selangor.

Okay lah, kita dengar nasihat murni Mohamad Sabu itu, kalau begitu kita ketengahkan pandangan dan kritikan yang elok-elok belaka.

Sementelah, kita ini kan masih di bulan Ramadan, setidak-tidaknya amalan berpuasa menjadikan hati kita semua bersih, sebersih-bersihnya… tegur sahaja tetapi secara berhemah, jangan maki hamun, nanti batal puasa pula.

Namun tiba-tiba sahaja pada hari yang sama, (semalam, 6 April), Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dalam kenyataan media sempena Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani, Kedah telah menjadikan sejenis makanan tular di seluruh negara.

Makanan apakah itu? Dah dekat-dekat raya ini, ada resipi baharu untuk juadah Aidilfitri kah?

Eh!… Ubi kayu? Ubi kayu jadi juadah raya?

Setahu saya, ubi kayu bakar adalah makanan tradisi untuk hidangan Aidilfitri Orang Asli.

Pernah terbaca, kalau tak silap pada tahun 2020 di akhbar Harian Metro, katanya ubi kayu bakar adalah juadah istimewa Aidilfitri Orang Asli suku Temiar di Pos Hendrop di Gua Musang, Kelantan.

Laporan itu berkata, sambutan Aidilfitri dalam kalangan Orang Asli akan lebih meriah dengan membakar ubi kayu, selain memasak nasi beras bukit dalam buluh.

Rupa-rupanya, itu tradisi turun-temurun nenek moyang kaum Orang Asli di situ dengan memakan tanaman yang diusahakan mereka sendiri, dan walaupun zaman sudah berubah tetapi ubi kayu masih menjadi pilihan kerana ia mudah didapati di kawasan tempat tinggal mereka.

Tapi kan, kalau kita orang Melayu nak jadikan ubi kayu juadah raya, di manalah pula nak cari ubi kayu, tambahan yang beraya di bandar besar?

Kalau nak buat juadah raya mestilah dalam jumlah yang banyak. Nak hidangkan buat tetamu lah katakan. Satu kerja pula nak cari ubi kayu untuk juadah raya.

Jauh sungguh andaian dibuat.

Maaflah tadi bersahur tak makan nasi…bukan sebab bekalan beras di rumah habis atau sukar jumpa beras yang dijual di kedai, tapi hari ini teringin makan ubi kayu pula.

Kebetulan pergi pasar semalam ada pula yang jual ubi kayu, dah alang-alang ubi kayu trending satu negara, jadi apa lagi kita sahur ikut trend lah.

Sebenarnya, Johari bukan kata ubi kayu sebagai juadah raya tetapi sebagai pengganti atau alternatif kepada nasi.

Ooo.. beliau kata, ubi kayu boleh dijadikan sebagai salah satu sumber karbohidrat yang mampu dijadikan alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan beras kita makan…tujuan untuk dapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras.

“Contoh saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai supplement (makanan tambahan), sebab ubi kayu ini khasiatnya hebat dibandingkan dengan gula yang ada dalam beras, ubi kayu jauh lebih rendah.

“Saya ada bincang, kalau kita dapat perkenalkan makanan supplement menggantikan beras..buatlah ubi kayu macam mana pun, sudah tentu, di Sarawak saya difahamkan amat berjaya.”

Begitulah inisiatif bijak yang dipersembahkan Johari buat rakyat di luar sana, kalau ada yang sukar jumpa beras di pasaran sekarang ini. Gantikan sahaja beras dengan ubi kayu. Selesai masalah!

Eh!, tapi..Johari ada sebut, ubi kayu alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Ooo… belum selesai isu ini. Tapi bukan ke Mohamad Sabu pernah buat kenyataan media kalau tak silap ketika muncul dalam slot Awani Pagi dalam siaran TV Awani pada 20 Mac 2024 bahawa pengeluaran beras negara dah mencecah 62 peratus?

Rupa-rupanya 62 peratus belum cukup untuk menampung bekalan beras rakyat di negara ini.

Dalam slot Awani Pagi itu, Mohamad Sabu cakap kerajaan sedang merangka dasar padi dan beras melibatkan lima kementerian dengan mengambil kira kepentingan petani, pengilang, pengedar serta peruncit di negara ini.

Beliau cakap lagi, kementeriannya mungkin mengambil masa tiga hingga empat bulan daripada sekarang sebelum mengumumkannya. Sekarang ini baru bulan April, paling-paling pun bulan Jun hingga Julai nanti lah rakyat kena tunggu untuk dapat tahu tentang apakah pengumuman itu.

Justeru untuk Aidilfitri pada tahun ini, yang mana umat Islam di negara ini dijangka menyambut Aidilfitri menjelang Rabu, 10 April mengikut kalendar 2024 (tertakluk pada perubahan)..lagi dua hari, apa kata bagi rakyat yang sukar dapatkan beras di pasaran untuk sediakan juadah raya, gantikan sahaja dengan ubi kayu.

Ya lah, kalau nak sediakan nasi tomato, nasi minyak, nasi hujan panas, atau nasi arab sebagai juadah raya perlukan beras, khususnya kena guna beras Basmathi yang mahal harganya itu, tapi beras biasa pun boleh.

Namun kalau dah sukar sangat jumpa beras di kedai, boleh fikir-fikirkan untuk jadikan sahaja ubi kayu sebagai juadah raya. Bukankah itu (macam Johari cakap) alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai?

Dalam menunggu Jun hingga Julai untuk pengumuman Mohamad Sabu kelak, jadi sementara itu rakyat kenalah biasa-biasakan makan ubi kayu yang baik untuk kesihatan itu kerana kata Johari, khasiat ubi kayu lebih hebat berbanding beras, terutama dari segi kandungan gulanya yang jauh lebih rendah kalau nak dibandingkan gula dalam beras. Mampu…? – HARAKAHDAILY 7/4/2024

- Advertisement -