PULUHAN ribu orang berdemonstrasi di kota Jerusalem pada 31 Mac lalu bagi mendesak Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Israel. Demonstrasi tersebut dilaporkan yang terbesar sejak negara rejim itu melancarkan serangan terhadap Gaza, Oktober lalu.
Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan parlimen bagi mendesak agar pihak pemerintah menerima syarat-syarat gencatan senjata dengan pihak Hamas dan menuntut pilihan raya diadakan lebih awal dua tahun dari tempoh sepatutnya.
Netanyahu menerima kritikan terbuka berhubung jaminan keselamatan di mana serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu di selatan negara itu telah mengorbankan 1,139 nyawa, manakala sekitar 250 orang warga Israel ditawan dan dibawa ke Gaza oleh tentera Hamas.
Perundingan dengan Hamas pada November 2023 berjaya membebaskan lebih 100 orang warga Israel. Namun, usaha tersebut terhenti apabila Netanyahu mengambil pendekatan untuk meneruskan serangan ke atas Gaza dengan mengkhususkan Rafah yang menjadi tempat berlindung kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza yang tidak dapat lari ke mana-mana.
Walaupun didesak oleh warga negaranya sendiri agar meletakkan jawatan, sebagai responnya, Netanyahu mengatakan bahawa pertukaran pentadbiran hanya akan melumpuhkan Israel.
Dalam perkembangan lain, pada hari yang sama kabinet baharu pihak berkuasa Palestin (PA) telah mengangkat sumpah di ibu pejabat Presiden, di Ramallah, Tebing Barat. Perdana Menteri PA yang baharu, Mohammad Mustafa telah membentuk barisan kerajaan teknokratik untuk membantu membina semula Gaza. Selain berkhidmat sebagai Perdana Menteri, beliau memegang portfolio Menteri Luar Negeri.
Seramai 23 menteri mengangkat sumpah dan antara yang hadir semasa upacara tersebut ialah Presiden Mahmoud Abbas dan bekas Menteri Dalam Negeri, Ziad Hab al-Rih yang memegang portfolio yang sama dalam kerajaan terdahulu.
Pentadbiran Amerika Syarikat, dilaporkan menerima dan mengalu-alukan barisan kabinet baharu ini yang dianggap sebagai langkah ke arah pembaharuan politik. Presiden AS, Joe Biden menggesa pihak berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat berusaha agar dapat juga mentadbir Gaza sebaik sahaja perang berakhir.
Sudah tentu gesaan itu bakal menemui jalan sukar kerana pihak berkuasa Hamas di Gaza tidak akan memberi laluan mudah, terutama selepas kesengsaraan yang dilalui oleh penduduk Gaza sejak serangan dalam tempoh enam bulan lalu. – HARAKAHDAILY 7/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!