TANGGA BATU: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Fattah menyasarkan untuk membina kompleks sendiri, kata Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.
Menurut beliau, ia bagi membolehkan aktiviti sekolah dijalankan dengan lebih selesa berbanding dengan menyewa di bangunan rumah kedai pada masa sekarang.
“Kita sebenarnya tengah mencari tanah untuk kita buat bangunan sendiri. Insya-Allah doakan, mungkin dalam masa dua atau tiga tahun lagi SRITI Al Fattah ada bangunan sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, sebelum ini memang pihaknya sudah menyasarkan sebidang tanah malah rundingan telah dijalankan dengan pemilik tanah, namun kerana masalah geran yang ada banyak nama dan isu keluarga menyebabkan usaha itu gagal.
“Kita cuba cari kawasan lainlah, insya-Allah. Setakat ni kita tidak buat kutipan secara terbuka, tetapi kita memang ada dana yang diinfakkan oleh rakan-rakan kita dari kalangan ahli-ahli dan juga penyokong-penyokong PAS,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily semasa program Iftar Jam’ie SRITI Al Fattah yang berlangsung di sebuah restoren di Sungai Udang, di sini, kelmarin.
Tambahnya, semenjak mula beroperasi pada tahun 2020, SRITI Al Fattah berkembang pesat dengan pertambahan jumlah pelajar yang memberangsangkan.
“Cuma kita harus tahu kebanyakan anak-anak yang belajar di SRITI ini terdiri daripada golongan menengah ke atas dan kalau kita dapat lihat hari ini bagaimana ibu bapa ni sangat-sangat mendukung setiap program yang dijalankan pihak sekolah. Ini suatu suatu pentanda baik.
“Kita lihat bagaimana kekukuhan hubungan antara ibu bapa kepada murid-murid ini sangat-sangat sangat hebat dan dan bagus,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.
Tambahnya lagi, dengan sebahagian besar pelajar datang dari keluarga kelas menengah menjadikan sokongan dari ibu bapa terutama dalam bentuk sumbangan membolehkan sekolah itu berdiri tanpa bantuan kewangan dari kerajaan.
Sementara itu, Pengurus Cawangan SRITI Al Fatah, Ustaz Syed Syadzwi Syed Isa pula berkata, tujuan utama majlis iftar tersebut diadakan ialah bagi mengumpul dana bagi memasang CCTV dan beberapa peralatan lain yang berjumlah hampir RM2,000.
“Alhamdulillah pada hari ini program ini disertai oleh 70 keluarga kepada pelajar-pelajar di sini dan kehadiran keseluruhan melebihi 200 orang termasuk ahli keluarga murid-murid dan tetamu-tetamu jemputan,” ujarnya.
Maklum beliau, pada masa ini terdapat sejumlah 150 orang pelajar sedang menuntut di sekolah itu berbanding hanya 36 orang semasa ia mula dibuka pada tahun 2020 dahulu.
Tambahnya, selain perancangan jangka panjang untuk membina bangunan sendiri, melalui perancangan jangka pendek mereka telah menyewa bangunan-bangunan bersebelahan untuk menampung pertambahan murid. – HARAKAHDAILY 7/4/2024