LONDON: Pakar bedah Palestin-British, Dr. Ghassan Abu Sitta telah dipilih sebagai rektor Universiti Glasgow pada 26 Mac 2024, memenangi 80 peratus undian yang memberangsangkan berikutan kempen penuh bersemangat pelajar di kampus tersebut.
Pada awal Oktober 2023, ketika permulaan serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza, Abu Sitta, 55, telah berkhidmat dengan gigih selama 43 hari merawat pesakit di Hospital Al-Ahli dan Al-Shifa di zon perang itu.
Penduduk dunia terkejut dan mendapat inspirasi apabila mendapati bahawa selain merupakan pakar bedah plastik yang memenangi anugerah dengan klinik di Harley Street yang terkenal di London, Abu Sitta juga mempunyai kerjaya yang lama sebagai pakar bedah di kawasan atau negara penuh dengan konflik perang termasuk Yaman, Syria dan Iraq.
Menelusuri susur salur kehidupan awal Abu Sitta, beliau dilahirkan di Kuwait dalam keluarga Palestin yang telah meninggalkan kediaman mereka ketika Perang Arab-Israel 1948 dan menjadi pelarian di Semenanjung Gaza.
Keluarga Abu Sitta kemudiannya berpindah ke Mesir dan United Kingdom pada akhir 1980-an, sebelum beliau belajar di Universiti Glasgow dan menamatkan residensi pascasiswazah di London.
Beliau menjalani tiga fellowship – Pembedahan Craniofacial Pediatrik dan Pembedahan Celah di Hospital Great Ormond Street untuk Kanak-Kanak Sakit (GOS), dan Pembinaan Semula Trauma di Royal London Hospital.
Abu Sitta pertama kali melawat Semenanjung Gaza sebagai pelajar perubatan semasa Intifada Pertama pada tahun 1989.
Berada Gaza pada hari kedua perang Israel-Hamas
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Glasgow, beliau mula bekerja untuk Perkhidmatan Kesihatan Negara, yang mana pada Julai 2005, Abu Sitta membantu merawat mangsa pengeboman London.
Beliau mengembara ke Gaza sebagai ahli pertubuhan Bantuan Perubatan untuk Palestin bagi memberikan bantuan perubatan semasa Intifada Kedua, Perang Gaza 2008-2009, operasi Israel 2012 di Semenanjung Gaza, Perang Gaza 2014 dan Perarakan Besar 2018, selain juga pernah bekerja di zon perang di Iraq, Lubnan, Syria, dan Yaman.
Pada Januari 2011, Abu-Sitta menyertai fakulti Hospital Universiti Beirut Amerika, dan bertugas sebagai pengarah Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif hospital dari 2012 hingga September 2020.
Pada 2015, beliau turut mengasaskan dan mengarahkan bersama Program Perubatan Konflik di Institut Kesihatan Global AUB. Abu-Sitta juga memberikan bantuan jarak jauh untuk pakar bedah yang bekerja di Semenanjung Gaza.
Ketika di Lubnan, Abu Sitta menunjukkan minatnya dalam politik Palestin dengan menulis dalam ruangan Opinions untuk akhbar tempatan. Pada 2021, beliau bertugas sebagai pensyarah di Pusat Kajian Kecederaan Letupan di Imperial College London.
Abu-Sitta kembali ke Gaza pada 9 Oktober 2023, dua hari selepas pada permulaan perang Israel-Hamas 7 Oktober.Ketika perang tersebut, Abu-Sitta bekerja dengan pertubuhan Doctors Without Borders di Hospital Al-Shifa, yang mana beliau bercakap dengan saluran berita dan menyiarkan kemas kini di Twitter tentang kea ( daan hospital dan pesakit.
Pada 18 November 2023, selepas 43 hari perang Israel-Hamas, Abu-Sitta kembali ke London, di mana beliau mengadakan sidang akhbar membincangkan pengalamannya sepanjang berada di Gaza.
Dalam sidang akhbar tersebut, Abu Sitta berkata, beliau telah merawat pesakit yang mengalami luka bakar fosforus putih, yang dinafikan penggunaannya oleh Angkatan Tentera Israel (IDF). Beliau seterusnya merancang untuk bekerjasama dengan Scotland Yard bagi berkongsi keterangannya tentang situasi di Gaza.
Pada Januari 2024, beliau pergi ke Hague untuk bertemu dengan penyiasat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Perangi ‘wang darah’ Israel
Kempennya untuk rektor, yang dirangkumkan oleh slogannya ‘Undi untuk saya adalah undi untuk solidariti dengan Palestin’ juga menyerlahkan isu yang lebih luas mengenai pelaburan universiti dan implikasinya terhadap hak asasi manusia.
“Saya didekati oleh gabungan pertubuhan pelajar yang merasakan bahawa, berdasarkan fakta bahawa saya seorang alumni, adalah amat berbaloi bagi saya untuk bertanding sebagai rektor sebagai platform perhimpunan (bagi suara pelajar).
“Adalah kritikal untuk kami menggunakan (platform) itu untuk berkempen bukan sahaja menentang peperangan di Gaza tetapi juga peranan universiti sebagai pemilik saham dalam (kontraktor pertahanan Britain) BAE Systems,” katanya lapor Arab News.
Apabila beliau memulakan jawatan baharunya pada 11 April ini kelak, Abu Sitta akan mewakili kepentingan pelajar kepada pihak pengurusan di Universiti Glasgow.
Perkara pertama dalam agendanya ialah meminta universiti itu melepaskan saham bernilai £1.5 juta (AS$1.8 juta) dalam BAE Systems, yang dilaporkan merupakan pengeluar utama senjata yang dibekalkan kepada Zionis Israel.
Menurut laporan The Guardian, peningkatan perbelanjaan ketenteraan, yang didorong oleh perang genosud Israel ke atas Gaza dan perang Rusia ke atas Ukraine, mendorong BAE Systems mencatatkan keuntungan pada 2023.
“Pada tahap moral, adalah tidak boleh diterima untuk universiti pengajian tinggi untuk membuat ‘wang darah’ daripada pembunuhan beramai-ramai.
“Sebagai (pemegang saham dalam) BAE Systems, mereka telah mendapat keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai ini,” tegas Abu Sitta.
“Tetapi juga, dari sudut pandangan risiko, saham ini menjadikan Universiti Glasgow terlibat dalam jenayah perang pembunuhan beramai-ramai,” tambahnya.
Ia berlaku apabila ratusan peguam dan hakim kanan, termasuk tiga bekas hakim Mahkamah Agung, menulis surat menuduh kerajaan British sebagai telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan terus membiayai kelengkapan senjata Israel.
Dana Dima al-Haj
Abu Sitta juga sedang mencari untuk menubuhkan dana untuk mengenang Dima Al-Haj, seorang alumni Universiti Glasgow dan pekerja WHO yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza, ketika itu Al-Haj menghembuskan nafas terakhir bersama bayinya yang berusia enam bulan.
Selain itu, Abu Sitta juga akan menyokong universiti itu untuk bebas daripada menyokong industri bahan api fosil dan memboikot institusi akademik Israel, dengan menyatakan penglibatan mereka dalam “perang pembunuhan beramai-ramai.”
Terdahulu, jawatan rektor di Universiti Glasgow telah dipegang oleh beberapa tokoh terkenal termasuk aktivis anti-apartheid Winnie Mandela dan Arthur Balfour, yang tandatangan mereka adalah pada pengisytiharan sokongan kerajaan British untuk penubuhan ‘rumah kebangsaan untuk orang Yahudi’ di Palestin pada tahun 1917.
Justeru, kemenangan besar Abu Sitta dalam pengundian untuk jawatan rektor Universiti Glasgow itu bukan sahaja menandakan peralihan dalam komuniti universiti berkenaan ke arah solidariti dengan Palestin, tetapi juga mencerminkan trend yang lebih luas dalam kalangan generasi muda.
“Saya fikir golongan muda di seluruh Eropah dan Amerika Utara, yang tidak berkiblatkan rujukan berita daripada media massa tetapi sebenarnya mendapatkan berita mereka sendiri daripada media sosial, telah bebas daripada propaganda saluran arus perdana ini dan oleh itu, telah berada di barisan hadapan kempen menentang perang genosid Israel ke atas Gaza.
“Mereka memberikan harapan terbaik untuk kita mengubah naratif tentang Palestin, untuk mengubah naratif tentang apa yang berlaku di Timur Tengah.
“Jadi, dari sudut pandangan itu adalah penting untuk kami menggunakan setiap pilihan yang ada untuk menyerlahkan lebih nyata naratif sebenar Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2024