Ramadan: Pertemuan pimpinan PN Johor sangat bermakna

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pimpinan utama PERIKATAN NASIONAL (PN) Johor telah mengadakan pertemuan semalam dalam rangka persediaan menghadapi pilihan raya negeri, kata Naib Pengerusinya, Ustaz Abdullah Husin.

- Advertisement -

Menurut beliau, selain daripada persediaan untuk membantu PN Selangor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baru, ia juga bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) yang mungkin berlaku lebih awal.

“Kita sedang hadapi dalam masa terdekat seperti Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Baru yang akan berlangsung penamaan calon pada 27 April tak lama lagi.

“Jadi pertemuan petang ini sebagai mukaddimah untuk susun semula gerak kerja peringkat PN negeri,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri pada Majlis Berbuka Puasa PERIKATAN NASIONAL peringkat negeri di Kempas Utama, Parlimen Pulai, dekat sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi PN Johor yang juga Pengerusi BERSATU negeri, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal, Naib Pengerusi GERAKAN Johor, Dato’ Tan Chin Hock dan Bendahari PN negeri, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Beliau menyifatkan bahawa pertemuan yang diadakan itu sangat bermakna lebih-lebih lagi pada penghujung Ramadan, selain turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pimpinan yang hadir daripada PAS, BERSATU dan GERAKAN.

“Walaupun pertemuan ini ringkas namun sangat besar maknanya sebagai satu momentum gerak kerja PN melambang kesatuan dan perpaduan kita,” ujarnya lagi.

Menurutnya pelbagai aktiviti telah diatur dalam pertemuan mesyuarat pimpinan PN itu dan mengharapkan jentera di peringkat akar umbi menyahut seruan dengan persiapan yang mantap dan berusaha memenangkan PN dalam PRN akan datang.

“Baru-baru ini kita telah adakan mesyuarat PN Johor bincang langkah-langkah awal termasuk pertemuan kita petang ini.

“Saya harap lepas ini Yang Dipertua PAS kawasan, AJK badan perhubungan, kepada ketua-ketua bahagian BERSATU dan GERAKAN untuk kita selepas ini ‘all out’ berusaha menangkan PERIKATAN NASIONAL bagi mengambil keberkatan Ramadan moga diberkati Allah SWT,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/4/2024

- Advertisement -