Program kacau dodol jadi acara tahunan

- Advertisement -

MELAKA: Batch 1989-1995 alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Sultan Muhammad (SMKASM) mahu menjadikan program kacau dodol acara tahunan.

- Advertisement -

Presiden bagi batch itu, Fadaly Sham Abu Samad berkata, ia disebabkan program tersebut berjaya mengeratkan semula hubungan bekas pelajar yang sudah lama terpisah.

“Program ini sebenarnya kita pernah buat beberapa kali sebelum tahun-tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu setiap kali menjelang Aidilfitri. Tetapi selepas itu kita tak buat lagi.

“Sehinggalah tahun ini kita rancang untuk mengulangi semula nostalgia ini, sebab kita pernah lalui dahulu program ini yang dapat merapatkan semula bekas-bekas pelajar yang telah lama terpisah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, memasak dodol memerlukan masa yang panjang dan kerjasama yang erat, dengan itu mereka mempunyai banyak masa untuk bekerjasama menyiapkannya.

“Nak masak dodol ni ambil masa hingga enam ke tujuh jam. Dan sepanjang masa perlu ada dua ke tiga orang untuk menggodak dodol tersebut secara berganti-ganti.

“Jadi memang kita ada banyak masa bersama masa nak siapkan dodol ni. Mana yang berehat pula boleh berbual-bual dengan rakan-rakan yang sudah lama tak berjumpa,” ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan bekas pelajar kumpulan 1989-1995 itu bekerja bertebaran di seluruh negara malah ada juga yang bekerja di luar negara.

“Jadi saat dah hampir nak raya ini mereka ada yang sudah balik kampung jadi dapatlah sama-sama berkumpul jumpa semula rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya lagi.

Turut hadir di dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang mana suami beliau, Mohd Helmy Abdul Talib merupakan salah seorang daripada alumni kumpulan tersebut.

Seramai hampir 30 orang bekas pelajar dengan sesetengahnya turut membawa keluarga bagi menjayakan program tersebut yang berlangsung di Warong Dak Illa Ostad, Bukit Baru bermula sekitar jam enam petang dan berakhir pada sekitar jam 12.00 tengah malam, kelmarin. – HARAKAHDAILY 8/4/2024