Anak muda Kelantan perlu berani pertahan akidah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak muda Kelantan dipastikan memiliki akidah yang kukuh dan berani mempertahankannya sehingga mampu melahirkan sebagai qawiyyul amiin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, anak muda juga mesti memiliki kekuatan dan integriti dalam kepimpinan.

“Usaha ke arah itu dicetus melalui Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) sebagai tunjang utama pembangunan anak muda,” katanya pada perasmian penutup Anak Muda Tamu Ramadan 1445H di sini semalam. 

Program tersebut diadakan di padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam. Hadir sama Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohamad Kamal Mohamed.

Pada majlis berkenaan setiap anak muda yang membaca dua muka surat al-Quran dan dalam masa 10 minit berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran.

Program itu melibatkan penyertaan anak muda dari 14 kawasan parlimen di seluruh Kelantan.

Program Anak Muda Tamu Ramadan diadakan sepanjang Ramadan, di mana pelancarannya diadakan di Jeram Mengaji Agro Resort Pasir Puteh pada 9 Mac lalu.

Zamakhshari juga berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan penghayatan dan pembudayaan bacaan al-Quran dalam kehidupan seharian anak-anak muda.

Kata beliau anak muda juga perlu mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

“Hasrat kita semua agar anak muda Kelantan dapat menjadi pemimpin generasi akan datang yang berpandukan al-Quran dan Sunnah dan menjadi anak muda yang qawiyyul amiin,” ujarnya.

Sempena program berkenaan anggota Exco menyampaikan sumbangan kepada anak muda yang terpilih daripada setiap DUN. – HARAKAHDAILY 7/4/2024

- Advertisement -