Najib mohon jalani baki hukuman penjara di rumah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada untuk mendengar semula permohonan Najib pada 17 April 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan semakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, untuk mencabar kewujudan Titah Adendum (tambahan) yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 supaya beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di dalam rumah.|

Beliau menerusi peguambelanya, Tetuan Shafee & Co memohon agar satu perintah ‘Mandamus’ (arahan mahkamah) supaya pihak yang dijadikan responden, antara lainnya; kerajaan Malaysia; Menteri Undang-undang; Komisioner Penjara dan Menteri Dalam Negeri melaksanakan apa yang didakwa oleh mereka sebagai titah tambahan daripada YDPA ke-16.

- Advertisement -

Menurut seorang Peguambela dan Peguamcara, Muhammad Rafique Rashid Ali, selain mengurangkan tempoh pemenjaraan dan tempoh denda, terdapat satu perintah tambahan yang didakwa oleh peguambela Najib, iaitu pemenjaraan beliau harus dilaksanakan sebagai ‘house arrest’, iaitu ditahan di rumahnya.

“Ada dua alamat rumah yang diberikan, satu di Pavilion dan satu lagi di Jalan Duta tak silap saya. Kedua-dua alamat itu ada di dalam permohonan”, katanya ketika muncul dalam live streming HarakahDaily bersama-sama Suffi Kamari.

Tambah beliau, permohonan ini telah dibuat kerana bekas Perdana Menteri itu merasakan terdapat satu titah daripada YDPA yang tidak dilaksanakan pihak kerajaan, iaitu beliau hendaklah ditahan di rumah dan tidak duduk di penjara.

“Permohonan ini bukan untuk mencabar pengampunan tersebut, bukan untuk mencabar titah tersebut, tetapi sebaliknya untuk memperolehi perintah daripada mahkamah untuk melaksanakan titah tambahan tersebut”, katanya lagi.

Maklum Rafique lagi, terdapat dua surat yang telah dikeluarkan kepada Menteri Undang-undang, Menteri Dalam Negeri, Komisioner Penjara serta bahagian hal ehwal undang-undang. Namun, surat-surat tersebut tidak dijawab oleh pihak kerajaan, maklum ketua peguambela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah.

Oleh yang demikian, menurut Rafique, perkara ini menimbulkan persoalan yang besar di kalangan rakyat Malaysia, iaitu;

Wujudkah surat-surat berkenaan?
Wujudkah Titah agar hukuman dilaksanakan sebagai ‘house arrest’?
Daripada tarikh pengurangan hukuman tersebut sehingga sekarang, mengapa kerajaan tidak telus dengan rakyat Malaysia mengenai isu ini?

“Mengapa kita hanya tahu melalui permohonan yang difailkan oleh Najib Razak melalui peguamnya? Ini sudah tentu bergantung sepenuhnya kepada wujud atau tidak titah tersebut. Itu yang beliau melalui peguambelanya perlu buktikan di mahkamah”, ujarnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini memutuskan untuk mendengar semula permohonan daripada bekas Perdana Menteri itu pada 17 April ini. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -