Pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air perlu memperluaskan Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga kepada sektor komersial perniagaan dan juga perumahan berbanding hanya sektor industri yang berpenggunaan tenaga tinggi.

- Advertisement -

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pengguna perlu diberi kesedaran dan pendidikan kepentingan berkaitan penggunaan tenaga, keperluan penjimatan dan juga kepentingan menjaga alam sekitar ke arah pencapaian pelepasan karbon sifar sebelum ianya diperluaskan kepada sektor tersebut.

“Saya ingin juga bertanya apakah insentif untuk pengguna industri atau syarikat yang proaktif memperbaiki kecekapan tenaga contohnya memberi rebat ataupun geran-geran untuk penambahbaikan kecekapan tenaga,” ujar beliau.

Dr Wan Martina mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air perlu menjelaskan tindakan yang dirangka untuk mencapai sasaran ‘net zero’ (sifar bersih) pelepasan karbon menjelang tahun 2050 yang menjadi objektif akta ini.

“Dan saya mohon penjelasan berapa peratuskah status pelepasan karbon negara sekarang dan berbanding dengan ofset yang telah sedia ada. Kita mendapat maklum yang syarikat asing meletakkan syarat penggunaan teknologi tenaga hijau sebagai syarat pelaburan mereka. 

“Dalam pada itu kita mendengar khabar bahawa kabinet meluluskan penjualan TBB (Tenaga Boleh Baharu) kita kepada negara jiran. Jadi saya pohon pengesahan dan apakah sebenarnya perancangan kerajaan dalam isu ini (dan) adakah ia memberi keuntungan kepada negara kita atau apakah ia boleh menimbulkan kerugian pada jangka masa panjang,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -