Perkataan kafir tak seharusnya dijadikan isu sensitif

Subash Chandrabose
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkataan ‘kafir’ tidak seharusnya dijadikan sebagai isu sensitif kerana terdapat 2 jenis kafir iaitu Kafir Zimmi dan Kafir Harbi.

Aktivis politik Muafakat Nasional, Dr. Subash Chandrabose M Arumugam Pilai berkata, perkataan kafir sedikitpun tidak mengganggu emosi dan sebarang aktiviti hariannya.

- Advertisement -

“Lagipun saya jenis suka tanya soalan dan saya sentiasa berminat untuk bertanya serta sentiasa dalam situasi curiousity termasuklah mengenai perkara (perkataan kafir) tersebut,” katanya.

Menurut pemahaman beliau, istilah Kafir Zimmi bermaksud masyarakat bukan Islam yang menetap di negara Islam yang mana mereka menghormati orang Islam dan juga apa pun peraturan berkaitan agama Islam.

Tambah beliau, Kafir Harbi pula adalah sebaliknya iaitu tinggal di negara Islam tetapi amat menentang orang Islam dan sebarang peraturan yang berkaitan Islam.

“Jadi katakan orang panggil saya kafir, adakah perlunya saya berasa sedih atau malu? Cuma ia bergantung kepada niat untuk menggunakan istilah tersebut,

“Bagi saya, kafir bukannya perkataan yang mengecil-gecilkan sesebuah bangsa kerana hanya istilah bagi umat Islam untuk mengenalpasti antara kawan dan musuh dalam negara.

“Sudah tentunya Kafir Zimmi akan menjadi pilihan umat Islam kerana golongan ini yang akan berjuang bersama-sama mereka atau dengan kata lain yang boleh dipercayai,

“Sementara, Kafir Harbi akan dianggap pengkhianat dalam sesebuah negara kerana tidak patuh dan menghormati peraturan Islam yang mana bila-bila masa sahaja mereka boleh menjadi ancaman kepada umat Islam itu sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Subash berkata, Beliau telahmempelajari segala nilai dan istilah agama Islam daripada sahabat yang beragama Islam itu sendiri dan menyatakan adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini untuk menyebarkan maksud yang betul mengenai perkara sebegitu.

Kata beliau, ini bertujuan untuk mengurangkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk dalam negara ini.

“Maka, ini adalah tanggungjawab Jabatan agama, Jabatan Perpaduan, dan Jabatan Penerangan lebihkan penerangan mengenai agama Islam dan berkongsi ilmu mengenai agama dan budaya yang lain yang mana perkongsian ilmu multi religion patut diperkenalkan dalam sistem pelajaran sekolah,” tegasnya.

Apabila ditanya sama ada istilah kafir digunakan dalam perbualan harian, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya perkataan tersebut dalam pengajian agama atau kuliah agama di masjid-masjid.

“Namun begitu perkataan tersebut kurang sesuai jika digunakan dalam perbualan harian kerana ini akan memberi satu tafsiran seperti ada dua golongan dalam negara iaitu masyarakat umat Islam dan kafir.

“Tambahan pula, golongan kafir akan sentiasa dianggap musuh negara umat Islam, maka saya rasa perlu elak digunakan dalam perbualan harian lebih-lebih lagi apabila masih ramai orang bukan Islam tidak tahu makna sebenar perkataan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -