Turkiye: Parti pembangkang menang kerusi Datuk Bandar

Penyokong CHP meraikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Tempatan Turkiye di Ankara. (FOTO: CNBC)
- Advertisement -

ISTANBUL: Pilihan raya tempatan yang berlangsung pada Ahad lepas menandakan kekalahan terbesar dalam tempoh dua dekad bagi Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang dipimpin oleh Presiden, Recep Tayyip Erdogan.

Pilihan raya yang berlangsung itu menyaksikan parti pembangkang, Parti Rakyat Republik (CHP) telah memenangi kerusi Datuk Bandar di kawasan-kawasan utama seperti Istanbul dan Ankara.  

- Advertisement -

Pada tarikh 31 Mac 2024 itu, Turkiye telah mengadakan pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar, Datuk Bandar Daerah dan pegawai tempatan yang akan dilantik untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sejak pertama kali menyertai pilihan raya pada 2002, ini merupakan kali pertama parti AKP tewas undi popular, selain tewas di daerah yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kepada AKP, , lapor Middle East Eye.

Dengan 99.8 peratus undian telah dikira, keputusan tidak rasmi menunjukkan pesaing politik utama Erdogan, Ekrem Imamoglu dari CHP telah dilantik semula sebagai Datuk Bandar Istanbul selepas memperoleh 51.1% undi, lapor TRT World.

“Mereka yang tidak memahami mesej daripada rakyat akhirnya akan kalah. Malam ini, 16 juta rakyat Istanbul telah menghantar mesej kepada pesaing kita dan juga presiden”, ujar Imamoglu di hadapan ribuan penyokongnya, pada Ahad.

Sementara itu di ibu negara, Ankara, calon CHP yang juga merupakan Datuk Bandar kawasan berkenaan, Mansur Yavas, menang selepas memperoleh 60.4% undi menewaskan calon parti AKP.

Beliau menganggap keputusan tersebut sebagai ‘mesej yang jelas kepada orang yang memimpin negara ini’. 

Secara keseluruhan, CHP berjaya memenangi sebanyak 36 daripada 81 wilayah yang ditandingi, selain berjaya menembusi kawasan-kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat parti AKP.

Puluhan ribu penyokong CHP berkumpul di Istanbul bagi meraikan kejayaan tersebut sambil menyalakan obor dan mengibarkan bendera negara berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -