KPKM, KDN perlu kurangkan pekerja asing dalam negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa membuat satu usaha dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi isu kesan ekonomi dan sosial dalam negara ini.

- Advertisement -

Senator Abdul Nasir Idris berkata, hal ini kerana lambakan pekerja asing dalam sektor pertanian yang memberi kesan terhadap ekonomi dalam negara ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dalam jawapannya memberitahu, KDN sedia maklum mengenai keperluan pekerja-pekerja asing untuk memastikan sektor agro makanan negara ini sentiasa beroperasi.

“Tetapi pada masa yang sama kita mempunyai dasar di mana kita seharusnya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing. Itulah sebab KPKM kita mempunyai beberapa usaha dan juga bantuan dan juga program untuk menarik lebih ramai golongan muda masuk dan juga menceburi bidang pertanian. 

“Kita memberikan kursus sehingga ke peringkat diploma, kita memberikan banyak bantuan dan juga insentif dan program seperti geran Agropreneur Muda dan kita akan menggunakan lebih banyak teknologi moden.

“Seperti pertanian pintar, dron dan sebagainya sebagai usaha besar untuk menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian supaya kita boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing,” jelas beliau.

Abdul Nasir dalam soalan asal meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha yang dilakukan Kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam sektor pertanian serta langkah Kerajaan bagi menarik minat rakyat tempatan untuk terlibat dalam sektor pertanian. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -