Kadar kelahiran, kesuburan rakyat Malaysia menurun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat digesa melaksanakan program dan merancang sesuatu untuk mengatasi masalah sebenar kadar kesuburan yang menurun di negara ini.

- Advertisement -

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, mengikut kajian menyatakan bahawa punca sebenar kadar kesuburan menurun di Malaysia adalah faktor sosioekonomi dan bukan disebabkan oleh masalah ‘subfertility’ iaitu kesukaran untuk hamil.

“Memandangkan kita melihat selain daripada faktor sosioekonomi adalah faktor kahwin lambat (punca kadar kesuburan menurun di negara ini). Maksudnya wanita-wanita kita berkahwin di luar usia reproduktif.

“Sepatutnya waktu ataupun umur paling ideal untuk kita mengandung atau melahirkan zuriat adalah pada usia 25 hingga 35 tahun. Dan jadi bagaimana pelan perancangan masa depan pihak kementerian,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, sebenarnya TFR (kadar kesuburan keseluruhan) menurun ini bukan hanya terjadi di Malaysia sahaja.

“Tapi trend penurunan kadar kesuburan yang ini adalah di seluruh dunia, fenomena seluruh dunia, dan beberapa penyebab. Apa yang dilaksanakan melalui kementerian adalah program-program intervensi yang cuba dilaksanakan. 

“Tapi perlu maklum balas daripada pasangan itu sendiri yang tidak malu untuk ke hadapan untuk berjumpa dengan pusat untuk mendapatkan rawatan itu dengan lebih awal.

“Dan diharapkan juga itu betul juga seperti YB nyatakan penangguhan perkahwinan, kecenderungan untuk mempunyai saiz keluarga yang kecil atas pelbagai sebab seperti masalah kemampuan kewangan juga antara penyebab-penyebabnya jugalah,” jelas beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Senator Dato’ Dr Ahmad Azam Hamzah yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan kadar kelahiran dan kesuburan di Malaysia menurun pada setiap tahun.

Juga kadar kelahiran bagi wanita berumur di antara 15 tahun hingga 49 tahun ialah 1.6 peratus, seterusnya faktor yang menyebabkan fenomena ini serta apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan bagi mengatasi masalah ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -