Dua pelajar sekolah maut: JKR bina bonggol

Najhan (tengah) ketika membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan, Bukit Kapar, Selangor.
- Advertisement -

KAPAR: Susulan kemalangan yang melibatkan tiga orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar, beberapa cadangan dan tindakan segera akan diambil untuk keselamatan semua pihak di masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Ustaz Najhan Salleh berkata, kemalangan yang berlaku di Jalan Abdul Wahid itu telah mengakibatkan dua kematian dengan seorang lagi kritikal di hospital. 

- Advertisement -

“Disebabkan laluan berkenaan sering menjadi laluan ‘perlumbaan’ pelajar, pihak sekolah dan PIBG telah memohon untuk meletakkan bonggol di laluan berkenaan”, katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan meletakkan ‘speed breaker’ (bonggol) bagi memperlahankan kenderaan yang lalu-lalang, sementara menunggu pihak JKR untuk membuat bancian mengenai pembinaan bonggol di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, tindakan memasang papan tanda ‘Awas’ dan ‘Sekolah di Hadapan’ turut akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Perkara ini insya-Allah, jangkaan adalah selepas raya akan dipasang papan tanda tersebut,” ujarnya.

Tindakan lain yang akan diambil, ujar beliau, adalah pemasangan lampu oleh pihak JKR di sepanjang laluan sekolah supaya kawasan berkenaan lebih terang dan tidak membahayakan pengguna jalan raya di situ. 

Beliau berkata, untuk kemudahan ibu bapa yang mengambil anak-anak termasuk van sekolah, kawasan lapang yang tidak digunakan di hadapan sekolah berkenaan akan dijadikan sebagai tempat parkir kenderaan bagi memudahkan urusan mengambil pelajar. 

“Kami akan menghantar surat kepada pihak JKR serta Pejabat Daerah dan Tanah agar kawasan tersebut dapat dijadikan kawasan parkir bagi ibu bapa yang mengambil anak dari sekolah supaya trafik di sini tidak sesak. 

“Kita harap perkara-perkara ini dapat dipertimbangkan oleh pihak-pihak yang berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -