PN Selangor yakin rampas Kuala Kubu Baharu

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) Selangor telah bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang dijangka berlangsung tidak lama lagi dan yakin boleh memenanginya.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar, berkata antara faktor yang boleh membawa mereka kepada kemenangan ialah majoriti pengundi yang terdiri daripada orang Melayu.

- Advertisement -

“PN yakin mampu merampas kerusi Kuala Kubu Baharu yang selama ini menjadi milik DAP sejak 2013. Keyakinan ini dibantu dengan komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus yang cukup mesra terhadap PN,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini.

Kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu kosong selepas penyandang tiga penggal, Lee Kee Hiong meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac 2024.

Dalam pada itu Mohamed Sukri berkata, golongan muda juga turut akan mengundi PN selain daripada pengundi Melayu.

“Bukan sahaja sokongan pengundi Melayu, malah kepercayaan yang tinggi anak-anak muda terutama undi 18 tahun yang cukup dekat dengan teknologi.

“(Perkara ini yang) membuatkan mereka mudah terdedah dengan info-info untuk dibandingkan, dan akhirnya akan cenderung memilih PN.

“Buktinya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos 2023, DAP hanya mendapat tambahan 761 undi berbanding pilihan raya sebelumnya. Sementara, PN menerima pertambahan sebanyak 7,437 undi (PRU-14 bertanding atas tiket PAS),” katanya.

Secara keseluruhannya, peratus undi DAP di Kuala Kubu Baharu merosot daripada 57.8 peratus pada 2018 kepada 54.4 peratus pada 2023, manakala bahagian undi PN tahun lepas adalah 39.3 peratus berbanding 13.6 peratus yang diperoleh PAS sebelum itu.

Tambah Mohamed Sukri, peningkatan jumlah lebih 10 kali ganda itu menunjukkan isyarat jelas bahawa pengundi semakin cenderung ke arah PN.

“Sudah pasti gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kepanasan dengan fakta-fakta sebegini.

“Justeru, tanpa mengira siapa pun calon PN yang bakal diletakkan, seluruh Pemuda PN Selangor sudah bersedia menghadapi pesta demokrasi di Kuala Kubu Baharu kelak,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ujar beliau, akan mengadakan mesyuarat khas pada 4 April ini untuk menetapkan tarikh PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Menurut peruntukan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Bab 5 Fasal (5) Perkara LXX, kekosongan luar jangka ini hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku. Maka, PRK perlu dilakukan sebelum berakhirnya bulan Mei kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -