
SEMENANJUNG GAZA: Penduduk menggambarkan ‘kemusnahan total’ ketika Angkatan tentera Israel ( IDF) berundur dari kompleks Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza selepas menyerbu dan menawan kawasan itu dua minggu lalu.
Beratus-ratus penduduk kembali ke hospital tersebut dan kawasan sekitarnya selepas IDF berundur pada awal pagi ini (1 April), di mana mereka menemui mayat di dalam dan di luar kemudahan perubatan itu, lapor Associated Press.
Terdahulu, IDF mendakwa pihaknya telah membunuh ramai pejuang Hamas dan pejuang lain, serta merampas bahan perisikan.
Salah seorang penduduk, Mohammed Mahdi, yang merupakan antara yang kembali ke hospital menggambarkan keadaan di situ sebagai ‘kemusnahan total’.
“Beberapa bangunan telah dibakar dan saya mengira terdapat enam mayat di kawasan itu, termasuk dua di halaman hospital,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Yahia Abu Auf, berkata masih terdapat pesakit, pekerja perubatan dan orang terlantar berlindung di dalam kompleks perubatan itu.
“Beberapa pesakit telah dibawa ke hospital berhampiran. Jentolak IDF pula telah membajak tanah perkuburan sementara di dalam kawasan hospital,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024