Perutusan LASPI Sempena Hari Air Sedunia 2024

- Advertisement -

HARI ini, 22 Mac 2024, merupakan Hari Air Sedunia seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan dengan itu, Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) PAS, mengajak seluruh warga Bumi ini khususnya rakyat Malaysia agar kita merenung sejenak betapa besarnya nikmat air yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

Sudah tentu nikmat yang sebegitu besar dikurniakan olehNya, menuntut kita merasai bersyukur serta berkongsi nikmat tersebut dengan warga Bumi yang lain termasuklah haiwan dan tumbuhan.

Prinsip ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Manusia berkongsi dalam tiga perkara; padang ragut (alam sekitar), air dan api (tenaga).”

- Advertisement -

Pada tahun ini sambutan Hari Air Sedunia adalah bertemakan “Air Untuk Perdamaian”. Menurut perutusan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, tema ini mengajak seluruh warga Bumi supaya memberi perhatian terhadap pentingnya kerjasama merentasi sempadan, agar seluruh kita dapat memperolehi keperluan yang paling asas ini.

Di dalam konteks dunia hari ini, keperluan bersama terhadap air boleh mencetuskan sama ada perdamaian atau persengketaan. Oleh kerana itu, seluruh warga Bumi seharusnya berkerjasama supaya persengketaan untuk memperolehi keperluan asas ini dapat dielakkan, sebaliknya air menjadi punca untuk semua kita hidup secara damai dan harmoni.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana negara Malaysia ini dilimpahi oleh Allah SWT dengan nikmat air yang begitu melimpah ruah. Sewajarnya dengan nikmat yang sedemikian, kita sepatutnya tidak menghadapi masalah berkaitan keterjaminan air (water security).

Bagaimanapun, sama ada kita mengakui atau tidak, masalah berkaitan keterjaminan air sememangnya dihadapi di Malaysia, dan masalah ini boleh menjadi lebih besar jika tiada kerjasama erat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi memastikan keterjaminan air di Malaysia terus dinikmati, maka seluruh rakyat Malaysia seharusnya mempereratkan kerjasama sekurang-kurangnya dalam tiga aspek berikut:

1. Seluruh rakyat Malaysia perlu berkerjasama untuk memastikan kawasan tadahan hujan yang menjadi sumber utama air permukaan dan air bawah tanah terus terpelihara. Setiap warga bertanggungjawab memulihara kawasan-kawasan tadahan hujan, bermula daripada mereka yang terlibat sebagai pembuat dasar sehinggalah kepada orang wam.

2. Seluruh rakyat Malaysia mestilah berkerjasama untuk mengelakkan berlaku pencemaran terutamanya terhadap air permukaan yang menjadi sumber utama kepada bekalan air bersih di negara ini. Sebarang bentuk aktiviti yang mencemarkan air permukaan dan air bawah tanah, sama ada kumbahan industri atau kumbahan ternakan, sehinggalah pencemaran yang tidak kelihatan seperti micro-plastics adalah satu jenayah besar yang perlu diperangi.

3. Seluruh rakyat Malaysia mestilah berkerjasama dalam menggunakan air secara berhemah iaitu meliputi amalan mengelakkan pembaziran, merintis amalan penuaian air hujan, mengitar semula air yang sudah digunakan dan lain-lain amalan penggunaan air secara Lestari.

Demi memastikan keterjaminan air di Malaysia dapat diperkasakan, LASPI juga berharap pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dapat mempereratkan kerjasama merentasi sempadan-sempadan negeri serta merentasi kepentingan millage politik sesuai dengan tema Hari Air Sedunia, “Air Untuk Perdamaian”.

Selain daipada itu, LASPI berharap usaha untuk mewujudkan “Lebuhraya Air” di Malaysia seperti yang sebelum ini pernah disarankan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, dapat direalisasikan.

Usaha mewujudkan Lebuhraya Air ini sebenarnya amat bertepatan dengan saranan PBB, supaya diperkasakan kerjasama merentasi sempadan dalam usaha menyampaikan air kepada pengguna-pengguna. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Pengerusi LASPI
22 Mac 2024

Link asal

- Advertisement -