Sama-sama menang pilihan raya: Megawati, Probowo dalam dilema

Prabowo Subianto (kiri) dan Megawati Sukarnoputri. (FOTO: CNA)
- Advertisement -

JAKARTA: Parti pemerintah Indonesia, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin Megawati Sukarnoputri telah memenangi pilihan raya perundangan negara itu buat kali ketiga berturut-turut.

Namun, parti berkenaan di dalam dilema mengenai bagaimana mereka akan berurusan dengan Prabowo Subianto yang memenangi pilihan raya presiden bulan lalu.

- Advertisement -

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia pada Rabu mengumumkan PDI-P telah memperoleh undian tertinggi sebanyak 16.72%, diikuti parti Golongan Karya (GolKar) 15.29% dan parti yang dipimpin Prabowo, Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dengan 13.22%, di dalam keputusan rasmi yang dikeluarkannya.

Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristiyanto pada 14 Februari memaklumkan bahawa partinya akan menjadi blok pembangkang selepas keputusan awal menunjukkan PDI-P mendahului pilihan raya perundangan, tetapi tewas di pilihan raya presiden selepas calonnya, Ganjar Pranowo menduduki tempat ketiga.

Sejak KPU mengumumkan keputusan rasmi pada Rabu, PDI-P tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pendirian mereka mengenai situasi ini.

Menurut penganalisis politik Pusat Strategik dan Pengajian Antarabangsa (CSIS), Nicky Fahrizal, kekalahan yang dialami Ganjar Pranowo kepada Prabowo Subianto telah menyukarkan keadaan pengerusi parti PDI-P dan Gerindra.

“Dari perspektif saya, PDI-P masih lagi belum sebulat suara memutuskan untuk menjadi pihak ‘ketiga’ di luar kerajaan. Ianya tidak jelas, mereka masih lagi ragu-ragu”, tambahnya.

Walaupun ramai ahli akademik di Indonesia berharap PDI-P menjadi blok pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan Prabowo, Fahrizal memaklumkan PDI-P mungkin bermasalah untuk mencari parti yang boleh bergabung sebagai blok pembangkang di Parlimen.

“PDI-P di dalam dilema, menteri mereka masih di dalam kabinet. Tiada persetujuan dicapai sama ada mereka mahu menjadi pembangkang atau tidak”, tambahnya lagi.

Presiden Jokowi yang akan tamat penggal pemerintahannya pada Oktober ini merupakan ahli PDI-P. Namun, beliau telah menyokong Prabowo Subianto dari Gerindra yang telah memilih anak lelaki Jokowi sebagai calon naib presiden.

Hubungan Jokowi dan PDI-P mula dingin sejak pengumuman gandingan tersebut dilakukan Oktober tahun lalu. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -