Gesa perhatian kerajaan bela penoreh getah

Dato’ Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebun Getah Mini diwujudkan kerajaan bagi menyelesaikan isu 420,000 hektar getah tidak ditoreh, namun kesannya kepada pekebun kecil terlibat tidak jelas, demikian kemusykilan dibangkitkan Senator Dato’ Husain Awang.

“Sebagaimana yang sedia dimaklumi, antara usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu 420,000 hektar getah tidak ditoreh dengan mewujudkan model kluster atau mini estate getah yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.

- Advertisement -

”Soalan saya yang pertama, sejauh mana kajian atau penyelidikan yang dilakukan oleh agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan kerjasama universiti tempatan?

“(Iaitu) terhadap model kluster yang diperkenalkan ini termasuk kesan sosioekonomi terhadap pekerbun kecil yang terlibat dengan perancangan ini,” soalnya mengemukakan soalan tambahan kepada Kementerian Perladangan dan Komuditi di Dewan Negara, hari ini.

Pada soalan asal, beliau meminta kementerian menyatakan perkembangan mekanisme harga getah untuk kelangsungan hidup pekebun kecil yang diperkenalkan di peringkat antarabangsa dapat mengimbangi pasaran harga getah.

Husain juga meminta pihak kerajaan agar memberi jaminan projek itu tidak melibatkan buruh asing malah meningkatkan pendapatan golongan terbabit.

“Apakah jaminan kerajaan bahawa model kluster yang diperkenalkan itu tidak melibatkan buruh asing malah meningkatkan pendapatan pekebun kecil?” tanya beliau.

Dalam pada itu, Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, cadangan itu masih di peringkat kajian dan belum dibentangkan ke peringkat lebih tinggi.

“Cara atau inisiatif kerajaan untuk membangunkan kawasan bernilai 420,000 hektar yang tidak bertoreh itu masih dalam kajian dan kertas kerja cadangan belum diangkat pada Kabinet untuk diputuskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -