Timbalan Menteri Kewangan jawab tanpa angka

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meluahkan kekecewaan apabila Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying tidak memberikan sebarang angka dalam jawapan kepada soalan yang diajukan beliau.

Fadhli dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah pengecualian Cukai Keuntungan Modal (CGT) terhadap unit amanah akan memberi kesan kepada unjuran hasil pendapatan negara sebanyak RM800 juta setahun seperti dinyatakan pada November 2023.

- Advertisement -

“Berkenaan dengan unjuran kerajaan, berapakah kehilangan hasil diunjurkan oleh kerajaan. Tetapi Timbalan Menteri tidak memberikan sebarang angka.

“Saya fikir mungkin kerana kerajaan masih lagi dalam peringkat kajian untuk menentukan berapakah angka,” ujarnya sewaktu sesi soalan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam soalan tambahan kepada soalan asalnya, beliau meminta Timbalan Menteri menjelaskan sama ada kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi pengecualian CGT bagi memberikan lebih lagi ‘buffer’ kepada pemilik-pemilik saham yang tidak tersenarai di Bursa Saham.

“Saya menyokong apabila CGT ini tidak dikenakan kepada syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Saham kerana kalau dikenakan ia pasti akan berlaku iklim yang tidak sihat di Bursa Saham.

“Cuma tidakkah kerajaan boleh memperluaskan lagi pengecualian yang telah diperkenalkan itu kerana syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Saham ini biasanya terdiri daripada golongan M40 dan mungkin juga di B40.

“Contohnya tempoh pemilikan saham tersebut, mungkin kurang dari tiga tahun atau tempoh tertentu,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS.

Dalam jawapan kepada soalan tambahan beliau, Timbalan Menteri menjelaskan bahawa setakat ini ada empat pengecualian telah dilakukan.

“Pengecualian adalah cukai keuntungan modal akan diberikan kepada pelupusan saham tidak tersenarai bagi aktiviti-aktiviti perniagaan seperti tawaran awam permulaan (initial public offering) dan penstrukturan syarikat dalam kumpulan yang sama (internal restructuring), syarikat modal teroka dan unit amanah.

“Pada masa sekarang ini merupakan empat kumpulan yang dikecualikan daripada CGT. Saya pun faham dan saya mengambil cadangan Yang Berhormat. Kita akan mengkaji lebih lanjut lagi,” ujar Lim. – HARAKAHDAILY¬†21/3/2024

- Advertisement -