Teka-teki kewajipan sebelum, semasa, selepas kewajipan

Ustaz Muhammad Fawwaz muncul dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 20 Mac 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ada satu Ilghas (teka-teki) yang berbunyi, apakah kewajipan sebelum kewajipan, apakah kewajipan dalam kewajipan dan apakah kewajipan selepas kewajipan?”

Persoalan teka-teki yang diutarakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan itu segera membuatkan benak fikiran dan minda terkial-kial cuba mencari jawapannya.

- Advertisement -

Beliau membuat kemunculan dalam program Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH pada hari ini (20 Mac), yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS. 

Sebenarnya, menurut beliau, Ilghas ada kaitan dengan persediaan atau persiapan untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan, yang mana seseorang Muslim itu  perlu mengetahui perkara yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas Ramadan. 

“Jika (hari) Jumaat mempunyai keberkatannya, maka Ramadan adalah penghulu bulan juga terdapat keberkatan ke atasnya. Jadi, kewajipan sebelum menyambut Ramadan adalah ilmu pengetahuan,” katanya.

Menurutnya lagi, Ramadan adalah bulan yang perlu dihormati oleh semua manusia; dan setiap amalan atau ibadah yang ingin dilakukan memerlukan kepada ilmu pengetahuan yang luas untuk mendapat keberkatan daripada bulan suci umat Islam ini sebelum melakukan ibadah tersebut.

“Ada ulama berpesan, antara tanda manusia tenggelam dalam dosa yang banyak adalah hatinya tidak dicerahkan; dan dua perkara daripada tanda yang disebutkan, yang pertama adalah tidak menyukai berpuasa dan tidak menyukai bangun beribadah di siang hari. Yang keduanya, adalah (perkara-perkara tadi) pada bulan Ramadan,” jelas beliau. 

Seterusnya adalah ‘kewajipan dalam kewajipan’ atau kata lain kewajipan ketika Ramadan adalah merujuk kepada sifat ikhlas. 

“Ikhlas adalah salah satu indikator atau kayu ukur untuk iman seorang Muslim pada setiap ibadah yang dilakukan,” kongsinya.

Beliau lalu berkongsi kisah seorang dua beranak kaum penyembah api, Majusi – anak yang dipukul oleh bapanya kerana makan di hadapan orang Islam yang berpuasa. 

“Selang beberapa hari, lelaki Majusi yang memukul anak itu kemudian meninggal dunia. Seorang ulama di tempat tersebut telah bermimpi bahawa lelaki itu telah masuk ke dalam syurga atas kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT sebelum dia meninggal dunia hanya kerana menghormati bulan Ramadan (selepas sebenarnya juga sempat memeluk agama Islam).  

“Justeru, Ramadan adalah bulan berkat. Barangsiapa yang mendekati perkara yang berkat, Allah SWT akan menjadikannya seorang yang baik,” ungkapnya.

Tambah beliau, yang terakhir adalah ‘kewajipan selepas kewajipan’ dalam erti kata kewajipan selepas bulan Ramadan itu adalah muhasabah.

“Setiap kali kita melakukan ketaatan samada Ramadan atau luar Ramadan, di hujungnya kita perlu muhasabah.”

“Setiap amalan yang dilakukan, biasakan di akhir amalan itu bermuhasabah dengan diri sendiri. Menurut dalam kitab-kitab Tasawwuf, ianya dinamakan al-Khauf dan al-Rajaa’.

Al-Khauf ialah perasaan bimbang atas amalan yang dilaksanakan itu adakah diterima Allah SWT atau tidak, manakala al-Rajaa’ pula, kita mengharapkan Allah SWT menerima amalan yang dilakukan.

“Semoga dengan mengetahui kewajipan ini, kualiti dan kuantiti ibadah kita terjaga, khususnya  ibadah puasa pada ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -