Mawaddah Centre sedia iftar percuma setiap Isnin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Musafir yang tidak sempat pulang ke rumah berpeluang berbuka puasa secara percuma di Mawaddah Centre yang terletak berhampiran Stesen Bas SKMK, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, program itu diadakan setiap hari Isnin sepanjang bulan Ramadan bermula jam 4.00 hingga 5.30 petang.

“Setakat ini kita menyediakan juadah berbuka untuk 150 orang dan kemungkinan akan dipertingkatkan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya di sini.

Mawaddah Centre Kota merupakan pusat kebajikan di bawah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKekWa).

Menurut Rohani golongan asnaf dan orang ramai yang berada di sekitar Mawaddah Centre pada hari Isnin boleh datang mengambil juadah berbuka puasa di situ.

Katanya, program itu diadakan sepanjang Ramadan bagi memberi peluang orang ramai yang berada di sekitar pusat bandar berbuka puasa.

Beliau juga berkata, program berkenaan dimulakan tahun lalu.

Antara menu yang disediakan termasuk bubur lambuk, nasi minyak (ayam masak merah dan acar timun), nasi putih (ayam kerutuk) dan nasi putih (gulai kawah daging).

Selain Mawaddah Centre orang ramai juga berpeluang menikmati iftar percuma di Madinah Ramadan, Masjid Muhammadi dan Masjid Telipot. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -