PKD Kelaboran agih RM141,500 Skim Kifaalah Warga Emas

- Advertisement -

TUMPAT: Pusat Khidmat DUN (PKD) Kelaboran mengagih sejumlah RM141,500 kepada wasi warga emas yang meninggal dunia di bawah Skim Kifaalah Warga Emas sepanjang tahun lalu.

- Advertisement -

ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, jumlah berkenaan diberi kepada 141 warga emas yang meninggal dunia, berusia 55 tahun ke atas.

“Bagaimanapun wasi kepada seorang warga emas diberi RM1,500 kerana meninggal dunia akibat Covid-19.

“Manakala 140 orang lagi sebanyak RM1,000 seorang,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih Ramadan di Pulau Telok Ranjuna dan Pulau Tokang, hari ini.

Sebanyak tujuh rumah diziarahi Mohd Adanan bersama Skuad Kita Cakno melibatkan empat mukim. Penduduk yang diziarah iaitu pesakit, warga emas dan pesakit terlantar.

Menurutnya skim berkenaan diperkenalkan kerajaan negeri sejak Febuari 2007 diteruskan sehingga sekarang.

Bagaimanapun, katanya masih ramai warga emas yang belum mendaftar di bawah skim tersebut.

Tambahnya, rugi rakyat Kelantan yang layak tidak mendaftar memandangkan wang yang akan diterima wasi dapat dibelanjakan untuk mengurus kematian atau membayar hutang piutang.

Skim berkenaan sebelum ini menetapkan syarat hanya peserta berumur 60 tahun ke atas dan wasi akan menerima sebanyak RM1,000 selepas kematian warga emas yang mendaftar. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -