Tambahan peruntukan KKM terlalu besar dipersoal

Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan digesa menjelaskan peruntukan tambahan sebanyak RM523,186,050 kepada bekalan perubatan dan fasiliti kesihatan yakni peningkatan 17 peratus daripada sebelum ini.

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, hal ini kerana tiada wabak besar berlaku sepanjang tempoh tersebut berbanding tahun 2021 datangnya wabak COVID-19 yang memerlukan perbelanjaan besar untuk merawat pesakit yang jangka.

- Advertisement -

“Dan juga adakah kerana peningkatan harga ubat akibat daripada pertukaran wang asing dan juga daripada beberapa cukai yang diperkenalkan?

“Yang kedua pertambahan bajet yang hampir setengah bilion ini juga pada tahun lepas pada tahun lepas kita kira keadaan duit tidaklah seteruk pada hari ini dan juga belum ada cukai SST dinaikkan.

“Saya bimbang dengan kenaikan SST dan juga nilai Ringgit ini akan memerlukan pertambahan bajet yang lebih besar pula pada tahun 2024. Ini harus kita lihat keadaan ini supaya tidak menekan kepada bajet ataupun kewangan kerajaan itu sendiri,” ujar beliau.

Dr Alias mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapannya berkata, ia pastinya bersifat pelbagai faktor yang mengakibatkan kenaikan sebanyak lima kali ganda.

Jelasnya, jika mahu jawab secara berfakta dan berdata, beliau perlu teliti setiap satu faktor-faktor yang mengakibatkan perbelanjaan lebih.

“Tetapi paling tidaknya saya tahu kos contohlah kalau nak sebut ORS (terapi rehidrasi oral) sendiri, rawatan dehidrasi sendiri lonjakkan hampir 142 peratus. Sebagai satu ni inhaler (alat sedut), steroid ini sebanyak lonjakkan tinggi sehingga lebih daripada 50 peratus.

“Dan juga yang lain yang mana saya tengok contohnya untuk rawatan tibi lonjakkan 300 peratus. Dan Hepatitis B, vaksin pun kita tengok satu-satu lonjakkan hampir 200 peratus,” jawab beliau.

Ringkas menurutnya itu adalah faktor yang menyebabkan tidak dapat diramal akan kos maka ia melonjak begitu tinggi dan pada masa sama jika diperhatikan pertambahan pesakit juga melonjak.

“Sepertimana yang saya sebutkan tadi multifactorial (pelbagai faktor) sifatnya 12 peratus yang dirujuk ke hospital dan klinik-klinik susulan peningkatan aktiviti yang kita buat secara sedar secara conscious (sedar) saringan-saringan itu.

“Jadi itu juga menambah kepada saringan tetapi jangan kita lupa saringan itu pada akhirnya akan mendatangkan kebaikan kerana kita telah mengesani mereka awal. Dan saringan hanya baik kalau kita susuli dengan rawatan dan kita kekalkan mereka dalam wellness program.

“Jadi itu adalah juga sangat penting. Termasuk jugalah skim perubatan madani yang saya pernah sebutkan sedikit sebanyak memberikan sikit congestion (kesesakan) di jabatan kecemasan kita especially di green zone (terutama di zon hijau), emergency department (jabatan kecemasan). Jadi kesemua itu adalah faktor-faktor yang diambil kira dalam hal ini,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -