Peranan pekerja sosial penting dalam masyarakat

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diminta menjelaskan nisbah pekerja sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada populasi penduduk Malaysia berbanding negara jiran.

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, ini berikutan kekurangan pekerja sosial ini memberi kesan yang sangat besar terutama kepada pegawai dan petugas JKM.

- Advertisement -

“Menyedari betapa pentingnya (RUU Profesion Kerja Sosial) ini untuk meningkatkan perlindungan dan kesejahteraan kepada pekerja sosial dalam negara.

“Saya ingin tahu sejauh mana penglibatan pemegang taruh utama termasuk kumpulan profesional terlibat dalam konsultasi ini termasuk juga persatuan pekerja sosial Malaysia,” soal beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam jawapannya memberitahu, bahawa ini antara cabaran KPWKM yang dihadapi sekarang ini oleh pekerja sosial di Malaysia ini.

“Di mana kalau kita memang kita melibatkan semua pihak NGO juga, ini yang membuatkan ia menjadi satu kelewatan untuk kita untuk finalize, memuktamadkan RUU ini.

“Kerana perbincangan ini masih lagi berterusan maka ianya menjadi satu cabaran bagi kita untuk mempercepatkannya. Malah kita ada berurusan dengan pihak negeri-negeri untuk mengetahui bagaimana sambutan mereka.

“Jadi selain daripada itu juga kefahaman awam yang terhad mengenai peranan dan nilai pekerja sosial termasuk melihat seseorang pekerja sosial sebagai menjalankan kerja amal atau sukarela secara tidak langsung memberi satu gambaran bahawa kerja sosial ini boleh dibuat oleh semua orang sedangkan tidak.

“Ini memberi kesan kepada permintaan untuk perkhidmatan ini untuk kita percepatkan dan dari segi nisbah tersebut tadi YB saya akan beri secara bertulis ya,” jawab beliau.

Siti Zailah dalam soalan asalnya apakah langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian bagi memastikan kesejahteraan pekerja sosial di negara ini dan apakah status proses konsultasi terhadap RUU PKS yang terkini. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -