YAMCS anjur kempen derma darah di 46 masjid

Pemimpin YAM yang hadir pada program menderma darah di Masjid Hidayah, Kelana Jaya.
- Advertisement -

PETALING JAYA: Bekalan darah semakin diperlukan dan ia amat penting bagi menampung keperluan setiap hari.

- Advertisement -

Penderma darah antara individu yang menjadi ‘hero’ kerana mereka berusaha untuk menyelamatkan nyawa manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Atas tanggungjawab sosial itu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) telah menganjurkan kempen derma darah sepanjang bulan Ramadan di negeri Selangor. 

Sehubungan itu, Naib Pengerusi YAMCS, Noor Hanim Ismail menyeru rakyat Selangor supaya mengambil peluang untuk menyertai program menderma darah di 46 buah masjid di seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan ini.

Katanya, YAMCS bekerja keras melaksanakan program derma darah dari semasa ke semasa.

Pengerusi Amalnita Pusat itu bersyukur kerana program derma darah anjuran YAMCS mendapat sambutan menggalakkan di setiap masjid.

Seorang penderma darah, Mohd Radhi, 30, bersyukur kerana akhirnya dapat juga menderma darah di Masjid Hidayah, Kelana Jaya.

“Sebelum ini memang hendak derma darah tetapi tidak ada masa. Saya ambil peluang antara ruang waktu Maghrib dan Isyak untuk derma darah.

“Saya nak tolong orang lain yang sakit dan memerlukan bantuan darah. Tak sakit pun, rasa macam kena gigit semut je,” katanya.

Katanya, proses derma darah sekitar 7 hingga 10 minit sahaja.

Di Masjid Hidayah, seramai 46 orang mendaftar tetapi 31 yang boleh menderma darah sementara yang lain tidak dapat melakukan kerana faktor kesihatan.

Di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Hulu Klang pula, yang mendaftar seramai 38 orang tetapi 12 daripadanya tidak layak atas faktor kesihatan.

Program derma darah yang diadakan malam tadi meriah dengan kehadiran Timbalan Presiden YAM Pusat, Jamuliddin Elias; Ketua Setiausaha YAM, Mohd Razali Moksim; Timbalan dan Naib Pengerusi YAMCS, Azraee Harun dan Mohd Azri Arish.

Mereka yang berminat boleh memeriksa lokasi pendermaan darah yang dianjurkan YAMCS melalui risalah yang disertakan atau hubungi pejabat YAMCS di talian 03-55242100. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -