Bagaimana sains mampu bantu majukan masyarakat?

Malaysia perlu bijak dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi, dan terus-menerus mengemis ilmu berlandaskan ideologi barat. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

DALAM era kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah satu lumrah, apa yang pasti ialah kita tidak boleh terus sentiasa menolak arus perubahan.

Mahasiswa kini mempunyai pandangan yang berlainan terhadap pengalaman pengajian tinggi yang ingin dijalani dan nilai-nilai yang dimahukan adalah berlainan.

Zaman ketika pengajian satu hala dijalankan telah lama berlalu, teraruh kepada pengajian yang lebih kolaboratif dan interaktif. Golongan mahasiswa masa kini dan akan datang, adalah generasi yang telah berjaya melalui pandemik global, dan merupakan generasi yang sentiasa dibayangi cabaran perubahan iklim dan turun naik ekonomi.  

- Advertisement -

Di samping itu, generasi sekarang juga adalah yang paling terdedah kepada ketidaktentuan pasaran pekerjaan dan peralihan ke ekonomi gig. Dalam keributan ini, pengajian sains semakin terhimpit dan hilang dari tumpuan bakal mahasiswa sebagai pilihan pertama.

Pandemik telah merobohkan benteng kesukaran untuk berubah dalam kalangan warga universiti dengan normalisasi revolusi pendidikan dalam talian dan merubah persepsi kolot berkenaan pengalaman pengajian di menara gading. 

Normalisasi revolusi pendidikan dalam talian

Di rantau ini juga, transformasi sains giat berlaku dan ia telah menjadi hab bakat dan inovasi dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan.

Negara-negara Asia telah mula menyedari bagaimana sains, penyelidikan dan inovasi dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan meningkatkan pelaburan bagi membina ekosistem tersebut. 

China, India, Malaysia, Jepun, Singapura dan Korea Selatan adalah antara negara yang bukan sahaja menarik bakat global, malah turut menggilap bakat sains tempatan dalam bidang termaju seperti kepintaran buatan, bioteknologi, sains bahan, bioperubatan, pertanian dan tenaga boleh baharu.

Tambahan pula, peranan Asia sebagai pemain aktif dalam hubungan antarabangsa melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) merangsang inisiatif pertukaran ilmu pengetahuan di kalangan negara-negara anggota. 

Situasi ketidaktentuan global

Perkongsian maklumat, sumber, data dan kepakaran memudahkan negara anggota menjalankan kerjasama dalam menangani masalah serantau seperti penurunan kualiti udara, lambakan plastik sekali guna dan perubahan iklim.

Seperti yang pernah dikupas oleh Jeneral Bersara George William Casey Jr. yang kini pensyarah kanan ulung dalam bidang kepimpinan di Universiti Cornell Amerika Syarikat melalui siri kuliahnya, situasi ketidaktentuan global sering menjadikan kita keliru dan berdiam diri tidak melakukan apa-apa tindakan. 

Dalam situasi seperti ini, senario semasa terlalu sukar difahami dan menjadikan perancangan jelas ke hadapan tidak dapat dilakukan. Untuk berjaya, tindakan yang berkesan perlulah dilaksanakan.

Negara seperti India membawa semangat ini dengan bercita-cita tinggi memulakan penerokaan angkasa kos rendah untuk membantu negara mereka mengatasi masalah pengurusan bencana, ramalan cuaca dan pendidikan luar bandar. 

China pula, walaupun sering dikritik sebagai penyumbang terbesar gas karbon dioksida dunia, mengorak langkah signifikan dalam sektor tenaga boleh baharu terutamanya tenaga solar dan bayu.

Industri tanpa adab

Sarjana Hamka pula pernah menyebut bahawa masa depan sesebuah negara dapat dilihat melalui sikap golongan pemudanya dan apakah menara ilmunya masih terpelihara. 

Adalah amat merugikan jika mahasiswa yang dilahirkan hanya sesuai menjadi golongan pekerja dambaaan industri tanpa adab, akhlak dan ketinggian akal budi. 

Justeru, bagi memastikan keseimbangan ini, Malaysia haruslah bijak dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi, terus-menerus mengemis ilmu berlandaskan ideologi barat. 

Bagaimanakah sains dapat membantu membangunkan masyarakat? Persoalan ini haruslah dijawab kita semua dengan usaha merakyatkan sains dan memastikan ilmu sains bukan hanya sekadar terperangkap di makalah, malah didedahkan kepada masyarakat melalui perkaitan mudah dengan kehidupan seharian. 

Sudah tiba masanya kita memahami sains untuk menjelaskan sekecil-kecil fenomena seperti kain jemuran yang disidai kering kerana air yang dikandung telahpun tersejat, pemindahan daya ketika mengibarkan Jalur Gemilang dan yang pastinya di mutakhir ini, pencerapan peredaran bulan untuk penentuan permulaan puasa dan di hari raya nanti. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Ts. Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes ialah Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains, Universiti Malaya.

PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia nerupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -