KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam perlu mengekang penjualan produk-produk Israel ke negara ini, demikian gesa Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).
Menurut beliau, antara produk Israel tersebut adalah kurma yang diyakini telah bertebaran di Malaysia kerana ada dijual secara atas talian walaupun 73 kotak tersebut telah berjaya dirampas.
“Apakah tindakan kementerian untuk mengatasi masalah tersebut yang dijual melalui online. Yang kedua apakah perlu kerajaan meminda undang-undang untuk memastikan bahawa produk-produk Israel ini tidak mudah-mudah dapat masuk ke negara kita.
“Dan yang terakhir apakah sikap kerajaan berkaitan dengan program boikot barang-barang Israel BDS Boycott, Divestment and Sanctions Israel apa pandangan pihak kerajaan,” soal beliau.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam jawapannya memberitahu, bahawa semua telah mengetahui di bawah perintah Kastam larangan mengenai import 2023.
Jelasnya, sebagaimana terkandung dalam jadual kedua bahagian dua KPDN tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbangkan lesen import, apa-apa produk dari Israel, dan ianya di luar bidang kuasa KPDN.
“Yang kedua sebagaimana kekhuatiran YB tadi yang kita kongsi bersama bahawa kita akan terus memantau di pasaran melalui pelbagai akta yang terdapat di KPDN khususnya akta perihal dagangan untuk memastikan sekiranya terdapat pasaran kurma berkenaan berlegar untuk ditawarkan kepada pengguna.
“Dan kita telah serta-merta memasukkan dalam SOP dan juga terma rujukan Ops Pantau yang telah kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri ini untuk melihat secara terperinci berkaitan dengan penjualan kurma yang didakwa tersebut.
“Dan kita amat berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan daripada awam dalam platform-platform rasmi yang wujud di KPDN,” jawab beliau.
Dato’ Rasol dalam soalan asalnya meminta dinyatakan tindakan telah diambil susulan pembongkaran terdapatnya kurma berasal dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia.
Tegas beliau ia jelas bertentangan dengan pendirian negara memboikot produk serta sekatan perdagangan dan ekonomi terhadap negara haram tersebut. – HARAKAHDAILY 14/3/2024