Jelajah isu pembatalan 16 seksyen Kanun Jenayah Syariah

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengadakan program jelajah bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu pembatalan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) 2019.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, ‘road show’ tersebut akan dikendalikan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN).

Katanya, jerayawara itu bertujuan memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat mengenai isu pembatalan 16 seksyen EKJS 2019.

“Kita buat penerangan di seluruh kawasan parlimen di Kelantan bagi menjelaskan kepada rakyat pembatalan oleh Mahkamah Persekutuan dan usaha untuk memperkasakan semula seksyen tersebut,” katanya di sini.

Pada 9 Februari lepas Mahkamah Persekutuan membatal 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan selepas dicabar individu bernama Nik Elin.

Bagaimanapun minggu lepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan usul persendirian bagi mengubal semula 16 seksyen yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Usul tersebut turut mendapat sokongan dua ADUN pembangkang daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Seksyen yang dibatalkan termasuk berkaitan liwat, gangguan seksual, memiliki dokumen palsu, melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak dan menawar atau memberi perkhidmatan maksiat.

Mohd Asri juga berkata, petisyen yang dikemukakan Nik Elin dan Tengku Yasmin mendapat bantahan banyak pihak. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -