Saran wujud polisi kewarganegaraan digital

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) menyarankan agar kerajaan mewujudkan ‘polisi kewarganegaraan digital’ terutamanya dalam kalangan remaja untuk menjadikan mereka lebih bertanggungjawab.

“Adakah pihak Kementerian bersetuju sekiranya kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dapat dibuat melalui MCMC agar diwujudkan ‘polisi kewarganegaraan digital’ ataupun ‘digital citizenship’.

- Advertisement -

“Yang diterapkan dalam silibus kurikulum atau dimodulkan agar pelajar lebih berkeupayaan untuk menggunakan teknologi secara bertanggungjawab bertatasusila dan selamat,” ujarnya dalam sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Semasa bertanya soalan yang sama, beliau turut meminta agar kerajaan menjelaskan tindakan-tindakan yang dilakukan bagi membendung penjualan bahan pornografi digital di aplikasi media-media sosial.

“Apa perancangan kerajaan bagi membanteras penjualan bahan pornografi di media sosial terutamanya di X dan Telegram yang turut melibatkan pelajar sekolah menengah terutamanya, agak kejadian seumpama dapat dibendung terus dari dalam talian,” ujarnya.

Ustaz Kamal menyatakan perkara ini dalam soalan tambahan kepada soalan asal beliau yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan metode pelaksanaan akan dilakukan agar anak-anak bawah 15 tahun diharamkan memiliki akaun sosial media sama ada TikTok, X, Facebook dan sebagainya agar mereka tidak mengikuti trend tidak baik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam jawapannya berkata, konsep ‘kewarganegaraan digital’ memang memerlukan kerjasama antara pelbagai kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Pengajian Tinggi.

“Jadi ia merentasi sejumlah kementerian sudah pasti ada modul-modul yang perlu diteliti dan insya-Allah cadangan yang baik ini akan kita susuli.

“Pada waktu ini ia akan bermula insya-Allah dengan perbincangan di antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan mengenai aspek keselamatan dalam talian. Tetapi boleh dikembangkan ke dalam aspek yang disebutkan tadi,” katanya.

Berkenaan dengan penjualan bahan-bahan lucah, Fahmi berkata, setakat 1 Januari hingga 2023 hingga 1 Mac 2024 sebanyak 38 aduan telah diterima dan disiasat oleh MCMC berhubung kandungan lucah di bawah Seksyen 233 Akta 588.

“Daripada 38 aduan tersebut 18 kes masih dalam siasatan, dua kes telah dikeluarkan notis amaran dan 18 kes berstatus ‘tiada tindakan lanjut’,” ujarnya.

Jelasnya, ia melibatkan mungkin bahan-bahan yang telah diturun atau dipadamkan sama ada dipadamkan oleh penyedia platform tersebut ataupun di atas arahan daripada MCMC. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -