Tutup kantin sekolah sebahagian pengenalan ibadah puasa

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

ALOR SETAR: Meneruskan operasi kantin sekolah pada bulan Ramadan bukanlah pendekatan terbaik untuk menerapkan sikap saling hormat menghormati dalam kalangan pelajar bukan Islam.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, penutupan kantin merupakan sebahagian daripada pengenalan kepada pendidikan ibadah puasa kepada murid-murid di sekolah.

“Tidak semestinya pembukaan kantin di sekolah sepanjang bulan Ramadan dapat menerapkan sikap saling hormat menghormati dalam kalangan murid-murid bukan Islam di sekolah sedangkan majoriti pelajar beragama Islam.

“Malah amat tidak sesuai tatkala semua murid mula belajar berpuasa pada bulan tersebut,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tegasnya lagi, sepanjang Ramadan inilah guru-guru di sekolah seharusnya berperanan untuk memberikan kesedaran dan pemahaman tentang kefarduan ibadah berkenaan.

Penerangan itu, ujar beliau bukan sahaja kepada pelajar beragama Islam sebaliknya juga kepada bukan Islam kerana waktu inilah praktis yang relevan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan agar pengurusan sekolah meneruskan operasi kantin masing-masing seperti biasa sepanjang Ramadan ini.

Menteri terbabit, Fadhlina Sidek pada kenyataannya berkata, tindakan itu merupakan proses pendidikan untuk memaham dan menghormati antara satu sama lain, khususnya sekolah yang mempunyai pelajar bukan Islam.

Ahmad Fakhruddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah menambah, tidak timbul masalah kepada pelajar yang belum mampu berpuasa kerana ibu bapa boleh membekalkan makanan dari rumah.

“Dahulu pun, pelajar yang belum mampu berpuasa, dibekalkan makanan dari rumah oleh ibu bapa. Pelajar bukan Islam juga boleh bawa makanan sendiri. Jadi tang mana nak timbul masalahnya.

“Falsafah pendidikan seharusnya diterjemah dan dipraktik dengan lebih holistik. Jangan sampai ingin menjaga minoriti, habis majoriti berterabur,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -