Penglibatan OKU, banduan perlu ditingkatkan dalam KPT

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang kelainan upaya (OKU) dan penghuni tirai besi khususnya anak muda penting dilibatkan dalam Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana mereka sedikit terabai, demikian menurut Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat).

“Apakah hala tuju kerajaan untuk meningkatkan penglibatan dan kemasukan orang-orang OKU dalam universiti di dalam negara kita terutamanya membabitkan pelbagai jenis kecacatan.

- Advertisement -

“Maknanya kalau yang berkerusi roda cukup dengan kebolehcapaian tapi hal-hal lain juga memerlukan suatu yang perlu dibuat oleh pihak kerajaan contohnya autism dan sebagainya.

“(Banduan) di sana terdapat beberapa program yang telah disebut dirancang serta dijalankan di penjara yang melibatkan sama dengan pihak universiti dan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Jadi saya ingin mendapatkan pandangan daripada Menteri adakah kita boleh merancang supaya lebih ramai anak muda yang tergelincir untuk kembali semula ke alam pendidikan?

“Khususnya pendidikan tinggi kerana kebanyakannya mereka ini sangat berminat tetapi saya dapati jumlah graduan daripada penjara tidak ramai,” katanya semasa sesi Penggulungan Menteri Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mumtaz turut meminta kerajaan menerangkan langkah yang diambil supaya orang-orang bijak pandai itu dapat dikembalikan kepada pemulihan sebenarnya.

Mengulas berkaitan OKU, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam jawapannya berkata, beliau pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa kalangan termasuk seorang profesor OKU.

“Mungkin kenal Profesor bidang ekonomi di Universiti Islam Antarabanga Malaysia (UIAM), Ruzita, beliau menjadi presiden kepada persatuan (OKU) ini untuk melihat bagaimana kita dapat memberikan timbangan yang terbaik.

“Jadi kalau dapat lihat dalam konteks UIA sebagai contoh yang saya pergi, saya lihat OKU itu bukan hanya melibatkan daripada kecatatan anggotanya sahaja, ia juga melibatkan mereka yang terlibat dalam lembam dan sebagainya.

“(Mereka) ini di kumpulkan bersama dan ada di universiti. Saya lihat UIA sebagai contoh dan saya percaya di universiti lain juga mempunyai peluang yang sama sepertimana yang diberikan oleh UIA,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Ahli Parlimen Tumpat mempunyai cadangan yang lebih baik untuk memperkukuhkan lagi penampilan OKU di universiti boleh dicadangkan ke pihak kementerian. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -