Keistimewaan puasa berbanding ibadah lain

Ahmad Fadhli ketika muncul dalam Tazkirah Zohor Ramadan berjudul, Berbuka: Adab dan Sunnah Sebenar di Kuala Lumpur pada hari ini, 13 Mac 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh ibadah sememangnya dilakukan untuk Allah SWT, tetapi puasa adalah ibadah yang istimewa khusus untuk Allah SWT.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, perlu difahami sebab keistimewaan puasa adalah ibadah yang pengesahan atau verifikasi hanya dapat dilakukan oleh Allah SWT dan individu  yang melaksanakannya. 

- Advertisement -

“Ketika berpuasa, khususnya sepanjang bulan Ramadan, selain menahan diri dari lapar dan dahaga, umat Islam perlu memahami akan adab dan sunnah sebenar ketika berbuka, bagi memastikan ibadah puasa kita dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

Menurut beliau, antara sunnah yang perlu dilaksanakan adalah dengan menyegerakan berbuka kerana ia merupakan antara sunnah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Nabi Muhammad SAW akan berbuka dahulu sebelum solat walaupun kita tahu menyegerakan solat itu merupakan satu sunnah, tetapi dalam bulan Ramadan, kita hendaklah menyegerakan berbuka berbanding dengan menyegerakan solat,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika dalam Tazkirah Zohor Ramadhan berjudul, Berbuka: Adab dan Sunnah Sebenar anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS.

Tambah Ahmad Fadhli, beliau percaya masyarakat di negara ini dapat melaksanakan sunnah berkenaan dengan baik sehinggakan tertunggu-tunggu waktu berbuka.

Menyentuh mengenai bagaimanakah cara Nabi Muhammad SAW berbuka puasa, beliau memaklumkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan mengutamakan ruthob (atau kurma basah) sebagai juadah utama untuk iftar. 

“Jika tiada ruthob, baginda akan berbuka dengan buah tamar (kurma yang dikeringkan). Jika tiada ruthob atau tamar, Nabi Muhammad SAW akan berbuka dengan air. 

“Bilangan ruthob atau tamar yang dimakan oleh baginda sewaktu berbuka adalah sebanyak tiga biji. Jika tiada, baginda akan minum beberapa teguk air”, tambahnya.

Kata beliau lagi, perkara berkenaan sedikit bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat pada hari ini, yang mengutamakan untuk makan dengan kuantiti yang banyak sewaktu berbuka puasa. 

“Praktikal yang paling baik ketika berbuka adalah dengan kita menyegerakan berbuka dengan tamar dan melakukan solat (Maghrib). 

“Kemudian, barulah kita makan sedikit sebanyak bagi memastikan kita bertenaga untuk melakukan solat tarawih,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -